PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sedang melaksanakan inisiatif bagi memastikan penularan Omicron tidak memberi kesan buruk kepada negara, termasuk kawalan lebih ketat di sempadan yang mula dilaksanakan ketika ini.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi mesyuarat berlangsung petang tadi memaklumkan mengenai trend penularan varian tersebut selain angka yang meningkat ketika ini.
Menurutnya, peningkatan tersebut tidak hanya melibatkan Malaysia, malah dilaporkan di negara-negara lain yang terjejas susulan penularan Omicron.
“Sebab itu dibentangkan juga tadi strategi dan cara menanganinya, saya tidak perlu jelaskan di sini kerana ada inisiatif yang sedang dibuat berdasarkan kepada kes yang dilihat sedang menular.
“Yang penting sistem kesihatan awam kita yang diketahui melalui tekanan pada masa Covid-19, mestilah ada cara untuk diperbaiki dan diteruskan. Kedua, kawalan sempadan dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang dikenakan turut dijelaskan,” katanya dalam sidang akhbar mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, MPN juga dimaklumkan berhubung tindakan penangguhan sementara lawatan mengerjakan umrah ketika ini susulan beberapa isu tertentu yang perlu ditangani Kementerian Kesihatan.
Jelasnya, susulan itu kementerian berkenaan sudah mengetahui langkah yang perlu dilakukan dalam usaha menangani penularan varian tersebut di negara ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mesyuarat tersebut memberi pandangan dan mengesyorkan untuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan perbincangan untuk meneliti, merancang dan mencadangkan langkah-langkah membuka semula sempadan negara dengan segera dan selamat, untuk dibentangkan kepada majlis itu.
“MPN juga berpandangan tanpa rancangan yang kemas, penutupan sempadan dalam dalam satu tempoh yang tidak menentu akan memberi kesan kepada cepat atau lambat proses pemulihan negara.
“Cadangan kita supaya satu jawatankuasa dibentuk antara beberapa kementerian tadi dan ia akan dibentang semula kepada pihak majlis, bila dan bagaimana dapat dibuka secara berperingkat-peringkat. Ia akan dikemukakan dan dibentangkan dalam mesyuarat akan datang,” katanya.