KUANTAN: Faktor ketakutan kerana bimbang sesak nafas dipercayai menjadi antara punca pesakit Covid-19 terlalu bergantung pada alat bantuan pernafasan.
Sedangkan dengan bernafas sendiri dan menguasainya, ia terbukti berkesan serta memberikan impak yang cukup besar dalam melawan gejala Covid-19.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, jurulatih Consultant Counsellor Motivator Trainer (CCCMT), Azeem Amzah berkata, beliau mengalaminya sebelum ini apabila positif Covid-19 tahap empat.
“Masa itu, saya dipakaikan alat bantuan pernafasan, namun, saya memberanikan diri membukanya dan bernafas sendiri berdasarkan teknik yang betul.
“Saya berani buat (bernafas sendiri) kerana saya tahu teknik bernafas dengan betul yang mana ia membantu saya untuk tidak bergantung dengan alat bantuan pernafasan,” katanya di sini semalam.
Azeem dalam pada itu berkata, orang ramai berpeluang mempelajari teknik pernafasan yang betul menerusi Simposium Anatarabangsa Nafas (Insyaaf) dengan membawa tema ‘Nafas dan Pernafasan’ dalam membantu rakyat menghadapi cabaran Covid-19.
Sementara itu, jurulatih konsultan CCCMT, Mohd. Nor Majnun berkata, program peringkat antarabangsa anjuran Total Life EMQR Motivation Academy (Talema) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Ihsan Wanita Islam (Perkiwisa) itu akan diadakan pada 2 Februari ini.
Beliau berkata, simposium itu akan diadakan di Bangi, Selangor dengan menyasarkan 5,000 peserta Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Menurutnya, peserta akan didedahkan kepentingan nafas dan peranannya dalam perlindungan diri dan keluarga dan persekitaran terhadap ancaman Covid-19 oleh barisan jurulatih CCCMT.
Jelasnya, jurulatih-jurulatih terbabit akan berkongsi secara teori dan praktikal tentang teknik pernafasan serta kesan positif yang bakal dialami setelah mengamalkan teknik yang dikongsikan.
“Para peserta akan mendengar perkongsian pengalaman daripada bekas pesakit-pesakit Covid-19 yang berjaya sembuh dan bangkit setelah mengaplikasikan teknik yang diajar.
“Secara umumnya, Insyaaf akan membantu masyarakat untuk keluar dari ketakutan dan trauma terhadap Covid-19 dan menyediakan diri untuk meneruskan kehidupan secara lebih positif dalam persekitaran endemik Covid-19 pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata, Insyaaf turut disokong oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat.
“Sesiapa yang berminat untuk hadir boleh menghubungi Pengurus Program, Dr. Julia Jamain di talian 0129782598. Selain itu, ia boleh disertai menerusi platform media sosial melalui carian Life Wholistic Motivation melalui Facebook dan Telegram,” katanya. -UTUSAN ONLINE