MELAKA: Kes posifif Covid-19 melibatkan golongan pelajar semakin membimbangkan dan dijangka boleh merebak ke beberapa institusi pendidikan lain di negeri ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Rusdi Abd. Rahman.
Menurutnya, sehingga kini jelas kes menunjukkan trend peningkatan sepanjang tempoh purata tujuh hari pemantauan yang dilakukan pihaknya.
Beliau menegaskan, ia semakin membimbangkan dan boleh merebak ke tempat lain jika semua pihak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Saya mohon kerjasama daripada semua pihak baik pelajar sekolah, guru dan masyarakat supaya patuh kepada SOP sedia ada. Jangan kita lalai walaupun ada yang sudah mendapat tiga dos vaksin.
“Bagi saya kes positif Covid-19 melibatkan pelajar makin membimbangkan. Saya tidak hairan jika sekolah berasrama lain akan menjadi mangsa selepas ini. Sama-sama kita berjaga-jaga,” katanya dalam sidang akhbar selepas Op Tahun Baru Cina di sebuah pasar raya di Malim di sini hari ini.
Rusdi berkata, sehingga kini empat kluster pendidikan yang masih aktif iaitu Kluster Jalan Kemendor, Jasin melibatkan Kolej Vokasional (KV) Datuk Seri Abu Zahar Isnin yang menjangkiti 39 pelajar dan Kluster Jalan Tun Telani yang membabitkan 135 pelajar di KV Melaka Tengah.
Menurutnya, dua kluster lain ialah Jalan Hang Tuah Jaya 2 membabitkan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) setakat ini 58 kes dikesan dan juga satu kluster baharu iaitu Kluster Jalan Pengkalan Batu yang menjangkiti 29 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sultan Muhammad.
Beliau menegaskan, daripada 261 kes positif Covid-19 melibatkan pelajar menerusi empat kluster pendidikan ini, hanya satu kes membabitkan varian Omicron dikesan di salah sebuah KV yang terlibat.
“Selain empat institusi pendidikan yang mencetuskan kluster, beberapa sekolah yang mempunyai kes jangkitan yang masih aktif, namun belum diisytiharkan sebagai kluster,” katanya.
Mengenai SMKA Sharifah Rodziah, Telok Mas pula, beliau berkata, ujian RTK-Antigen telah mengesahkan, empat pelajar positif manakala 20 lagi sedang bergejala dan menunggu keputusan RT-PCR yang telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 15 kes Omicron telah dikesan di negeri ini iaitu sembilan di Melaka Tengah, tiga di Jasin dan dua di Alor Gajah.