PUTRAJAYA: Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan di bawah 100 kes apabila mencatatkan 99 kes sekali gus menunjukkan penurunan berbanding semalam, 106 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga mencatatkan penurunan apabila merekodkan 229 kes berbanding semalam, 253 kes.
Katanya, sebanyak 3,175 kes positif menunjukkan peningkatan berbanding semalam, 2,641 kes sekali gus mengatasi kes sembuh yang mencatatkan 2,977 kes.
“Malaysia merekodkan sebanyak 1.9 peratus bersamaan 60 kes daripada 3,175 kes positif harian Covid-19, hari ini yang melibatkan kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, 3,115 kes iaitu 98.1 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sembilan kluster baharu dicatatkan yang menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,176 kluster.
“Sebanyak 178 kluster aktif direkodkan yang terus menunjukkan peningkatan berbanding semalam, 169 kluster.
“Jumlah kluster tamat sebanyak 5,998 kluster berbanding semalam, 5,994 kluster,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan menunjukkan penurunan apabila mencatatkan sebanyak 18 kes, berbanding semalam, 23 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,696 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak dua daripada 18 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,392 kes.