PUTRAJAYA: Sebanyak 4,016 kes bersamaan 98.9 peratus daripada 4,066 kes positif Covid-19 hari ini terdiri daripada kategori satu dan dua.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, hanya 50 kes bersamaan 1.2 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima.
Katanya, sebanyak 4,066 kes positif menunjukkan peningkatan berbanding semalam, 3,179 kes sekali gus mengatasi 3,559 kes.
“Jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan merekodkan sebanyak 65 kes bersamaan jumlah semalam.
“Pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula merekodkan penurunan, 131 kes berbanding semalam, 146 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia terus mencatatkan peningkatan jumlah kluster Covid-19 apabila merekodkan 13 kluster baharu berbanding semalam, sembilan kluster.
Katanya, ia menjadikan jumlah kluster terkumpul sejak pandemik melanda negara iaitu 6,328 kluster.
“Sebanyak 244 kluster aktif direkodkan yang menunjukkan sedikit peningkatan berbanding semalam, 234 kluster.
“Jumlah kluster yang telah tamat sebanyak 6,084 kluster berbanding semalam, 6,081 kluster,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, jumlah kematian yang dilaporkan mencatatkan peningkatan iaitu 10 kes berbanding semalam, sembilan kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 31,902 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), satu kes daripada 10 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,429 kes. -UTUSAN ONLINE