SUNGAI PETANI: Pasangan pengantin baharu sanggup mengorbankan tempoh bulan madu mereka untuk membantu menguruskan pengebumian jenazah Covid-19.
Pasangan tersebut, Muhammad Ridzuan Osman, 34, dan isterinya, Nur Afifah Habib, 26, dari Tikam Batu di sini aktif dalam aktiviti sukarelawan di daerah ini.
Muhammad Ridzuan yang juga Ketua Operasi Team Pengurusan Jenazah Percuma, Murtadha Dakwah Centre (Madad) berkata, dia dan pasangannya bernikah Masjid Pulau Sepom, Tikam Batu pada Sabtu lalu manakala majlis persandingan mereka pula berlangsung di Dewan Seri Berangan, Tikam Batu, pada keesokan harinya.
Katanya, mereka sememangnya belum merancang untuk pergi berbulan madu dalam tempoh terdekat ini, justeru, memilih untuk terus memulakan tugas sukarelawan.
“Kebetulan, kami dapat panggilan untuk urus jenazah pesakit Covid-19 di Sungai Layar di sini pada Selasa, jadi kami terus turun padang sama-sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tikam Batu di sini hari ini.
Menurutnya, perkenalan dia dan isteri juga bermula ketika mereka bersama-sama melakukan aktiviti sukarelawan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
“Isteri saya bekerja di sektor swasta di Sungai Petani sebelum ini juga aktif dengan pelbagai aktiviti sukarelawan dan akan meluangkan masa cutinya untuk aktiviti tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, mereka berdua kini berasa lebih teruja apabila dapat melakukan aktiviti sukarelawan bersama selepas ini.
“Sejak bujang lagi kami sudah terbiasa isi masa kami dengan aktiviti sukarelawan untuk bantu masyarakat yang memerlukan.
“Kini kami lebih seronok kerana dapat lakukan kerja sukarelawan sebagai suami isteri,” katanya. -UTUSAN ONLINE