SEREMBAN: Tiga kes positif Covid-19 varian Omicron dikesan di negeri ini membabitkan kes import wanita tempatan yang pulang dari luar negara, setakat semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, bagi ketiga-tiga kes berkenaan, kesemuanya telah disaring di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dipakaikan gelang pengesan digital.
Menurutnya, kes pertama melibatkan pengembara warganegara Malaysia, seorang wanita berumur 28 tahun yang tiba dari Ireland melalui pintu masuk antarabangsa KLIA pada 15 Disember lepas.
“Kes telah pulang ke rumah untuk menjalani kuarantin di rumah yang terletak di daerah ini. Keputusan kes adalah positif dan tidak bergejala dan wanita itu telah lengkap divaksin pada 13 Ogos lalu.
“Bagi kes kedua pula melibatkan pengembara warganegara Malaysia, seorang wanita berumur 28 tahun yang tiba dari United Kingdom melalui pintu masuk antarabangsa KLIA pada 14 Disember lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Veerapan berkata, wanita berkenaan telah pulang ke rumahnya di daerah ini untuk menjalani kuarantin.
Menurutnya, keputusan wanita tersebut adalah positif dan mempunyai gejala ringan dan dia telah lengkap divaksin pada 19 Mei lalu.
“Bagi kes ketiga pula, ia melibatkan pengembara warganegara Malaysia iaitu seorang wanita berusia 29 tahun yang tiba dari United Kingdom melalui pintu masuk antarabangsa KLIA pada 16 Disember lalu.
“Wanita berkenaan telah pulang ke rumah di Port Dickson untuk menjalani kuarantin. Keputusan kes adalah positif dan kes mempunyai gejala ringan dan wanita itu telah lengkap divaksin pada 30 Mac lalu dan telah menerima dos penggalak pada 22 Oktober,” katanya.
Menurut Veerapan, kesemua kontak rapat telah dikenal pasti dan telah dilakukan ujian tindak balas polymerase chain reaction (PCR) dan diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri. -UTUSAN ONLINE