PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menjangkakan kemungkinan berlaku peningkatan kes Covid-19 berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang tidak dapat dilakukan sepenuhnya sewaktu proses menyelamat mangsa banjir.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keselamatan setiap individu yang terlibat dalam bencana banjir adalah paling utama, maka kementerian faham sekiranya pematuhan SOP kesihatan awam tidak dapat dipatuhi sepenuhnya sewaktu menyelamatkan nyawa.
Namun katanya, semua individu yang terlibat sama ada mangsa banjir, anggota sukarelawan atau anggota penyelamat diharapkan dapat cuba mematuhi SOP sebaik mungkin untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 di pusat pemindahan sementara (PPS).
Katanya, pasukan perubatan turut disediakan di PPS terutama di PPS yang besar, membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada semua mangsa banjir.
Malah katanya, ujian saringan Covid-19 dilakukan juga ke atas mangsa banjir sebelum memasuki PPS bagi mengesan awal jangkitan bagi memastikan tiada penularan berlaku di PPS.
“Bagaimanapun, memandangkan terdapat juga mangsa banjir yang telah mendapatkan perlindungan di masjid-masjid, stesen LRT, pusat beli belah dan beberapa lokasi lagi, semua urusetia atau sukarelawan agar dapat menjalankan ujian kendiri air liur RTK Ag kepada setiap individu yang berlindung dan mengasingkan kes yang dikesan positif secepat mungkin serta memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah melalui talian hotline yang disediakan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, sebanyak 72 fasiliti kesihatan telah terjejas akibat banjir melibatkan 43 di Pahang, 20 di Selangor, lapan di Kelantan dan satu di Negeri Sembilan manakala daripada jumlah tersebut, sebanyak lapan fasiliti kesihatan terputus hubungan namun masih beroperasi dan 21 fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi iaitu 20 di Selangor dan satu di Negeri Sembilan.
Katanya, sebanyak 78 mangsa banjir telah diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar di PPS melibatkan 13 kes kategori penyakit berjangkit iaitu lima kes jangkitan pernafasan akut dan lapan kes jangkitan kulit dan 65 penyakit tidak berjangkit.
“Buat masa ini, tiada kes akut gastroenteritis (AGE), tifoid, kolera, penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), leptospirosis, denggi atau penyakit berjangkit lain dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir. Selain itu, terdapat satu kes ibu mengandung (antenatal). Tiada kes posnatal atau pesakit yang menjalani rawatan dialisis dilaporkan dari negeri yang dilanda banjir,” katanya.