86 lagi kes positif Covid-19 ketika saringan kemasukan ke PPS - Utusan Malaysia

86 lagi kes positif Covid-19 ketika saringan kemasukan ke PPS

DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mencatatkan penambahan 86 kes positif Covid-19 yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir sekali gus merekodkan jumlah keseluruhan sebanyak 267 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 86 kes yang dilaporkan positif pada hari ini, sebanyak 75 kes dikesan melalui saringan kemasukan ke pusat pemindahan sementara (PPS) manakala 11 kes lagi adalah kes yang sedia ada dan sedang menjalani kuarantin sebelum kejadian banjir.

Katanya, setakat ini tiada kejadian kes positif Covid-19 dilaporkan dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS.

“Kesemua 86 pesakit Covid-19 telah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain iaitu sembilan kes di tempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), 12 kes di hospital, 62 kes di PPS kuarantin, dan tiga kes menjalani kuarantin di rumah.

“Sehingga hari ini, jumlah PPS yang masih beroperasi di seluruh negara adalah sebanyak 456 iaitu 280 di Pahang, 128 di Selangor, 28 di Kelantan, sembilan di Melaka, enam di Negeri Sembilan, tiga di Kuala Lumpur dan dua di Perak manakala jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir pula adalah seramai 71,320 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Hisham berkata, selain kes Covid-19, KKM melahirkan kebimbangan akan berlakunya penyakit berjangkit berkaitan banjir seperti keracunan makanan (Acute Gostroenteritis – AGE, tifoid, dan kolera), Penyakit Mulut Kaki dan Tangan (HFMD), leptospirosis, jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), penyakit kulit dan demam denggi.

“Sehingga hari ini, sebanyak 203 kes ARI, 73 kes penyakit kulit, 19 kes AGE, 12 kes demam, dua kes cacar air, dan 55 kes penyakit berjangkit lain yang melibatkan mangsa banjir telah dilaporkan ke Bilik Gerakan Banjir Kebangsaan.

“Bagaimanapun, tiada kes konjunktivitis, tifoid, kolera, HFMD, leptospirosis, dan denggi,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noor Hisham turut mengingatkan semua petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan termasuk fasiliti kesihatan swasta, perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir.

“Pemeriksaan yang sepatutnya perlu dilakukan agar rawatan segera dapat diberikan.

“Pihak Kementerian Kesihatan juga giat menjalankan pemeriksaan keselamatan bekalan air minum, aktiviti kawalan vektor, pemeriksaan keselamatan makanan serta pendidikan kesihatan di PPS bagi mengurangkan risiko penularan penyakit berjangkit yang berkaitan banjir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya