IPOH: Enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah (SAS) Kuala Kangsar disahkan positif Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains dan Alam Sekitar negeri, Mohd. Akmal Kamarudin yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kes tersebut.
Kesemua mereka merupakan jangkitan daripada Kluster Jalan Kuala Kangsar Gerik yang dilaporkan pada 29 November lalu.
“Saya mengambil maklum berkenaan laporan terdapat kes positif Covid-19 pelajar MRSM SAS Kuala Kangsar iaitu Kluster Jalan Kuala Kangsar Gerik dilaporkan sebelum ini.
“Saya ingin sarankan agar semua pihak sentiasa berwaspada dan memaksimumkan pematuhan kawalan kendiri awam” katanya pada satu hantaran menerusi WhatsApp kepada Utusan Malaysia.
Ketika ini, langkah kawalan dan pemantauan selanjutnya telah dilakukan oleh petugas Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar.
Sehingga semalam, tiada kes baharu dilaporkan daripada Kluster Jalan Kuala Kangsar Gerik ini.
Terdahulu, enam pelajar tingkatan 5 MRSM SAS Kuala Kangsar dilaporkan positif Covid-19 dan disahkan pengetuanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Adalah dimaklumkan terdapat kes Covid-19 positif dalam kalangan pelajar yang melibatkan enam pelajar Tingkatan 5.
“Pelajar Tingkatan 5 yang lain juga telah menjalani ujian saringan dan alhamdulillah semua negatif.
“Segala SOP sentiasa diperingatkan kepada semua pelajar agar dipatuhi,” katanya. – UTUSAN ONLINE