KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini ditangguh berikutan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) positif Covid-19.
Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub berkata, dua wakil rakyat berkenaan, ADUN Tanjong Mas, Rohani Ibrahim dan ADUN Tendong, Rozi Muhamad disahkan positif Covid-19 pagi ini.
Selain itu, kata beliau, ADUN Kemuning, Mohd. Roseli Ismail pula didapati menjadi kontak rapat kepada anaknya yang dijangkiti Covid-19.
“Sidang DUN bermula Khamis lalu sepatutnya berakhir Selasa ini, namun, disebabkan penularan Covid-19, kita terpaksa tangguhkan mengikut keperluan, manakala ketiga-tiga ADUN akan menjalani kuarantin.
“Kita khuatir mungkin akan ada lagi yang didapati positif sekiranya persidangan dilanjutkan. Oleh itu, tindakan awal perlu diambil,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, sebelum persidangan bermula Khamis lalu, kesemua ADUN telah diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 dan ujian ketika itu mendapati tiada mana-mana wakil rakyat didapati positif.
Beliau turut memberitahu, buat masa ini, tarikh persidangan DUN akan disambung semula belum diputuskan.
“Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob telah membentangkan Belanjawan Kelantan 2022 pada Khamis lalu dan telah dipersetujui semua ADUN. Jadi, tiada perkara yang berbangkit dan ia lulus tanpa dibahaskan.
“Mengikut Perkara 29 peraturan dewan, speaker berkuasa untuk menangguhkan dewan pada bila-bila masa,” katanya.
Terdahulu, Ahmad pada persidangan DUN Khamis lalu membentangkan Belanjawan Kelantan 2022 dengan defisit sebanyak RM90.49 juta berbanding RM66.02 juta tahun lalu sebelum ia diluluskan tanpa dibahas. lulus tanpa dibahaskan.
Ahmad turut mengumumkan pemberian bantuan khas sebanyak RM1,000 kepada penjawat awam, RM500 kepada pegawai lantikan politik dan RM250 kepada guru agama dan guru Fardu Ain. -UTUSAN ONLINE