Tempatkan lebih ramai doktor di PKD tangani Covid-19 - Utusan Malaysia

Tempatkan lebih ramai doktor di PKD tangani Covid-19

LEE BOON CHYE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negara perlu diperkukuhkan dengan menambah lebih ramai petugas kesihatan bagi mengendalikan kes-kes jangkitan Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, ini kerana PKD bertindak sebagai barisan hadapan dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Pakar Kardiotorasik itu berkata, tanpa bilangan tenaga kerja yang mencukupi, kerajaan tidak mampu mengesan, menguji dan menyaring individu yang mempunyai kontak rapat sekali gus menyaksikan negara berdepan dengan keadaan yang sukar dijangkakan dalam beberapa tempoh masa akan datang.

“Biasanya, kontak rapat boleh melibatkan antara lima hingga 10 orang, jadi andai ada 6,000 kes dilaporkan dalam sehari, bermakna ada lebih kurang 30,000 kontak rapat yang perlu dikesan dan hal ini sukar jika tenaga kerja kita kurang.

“Dalam pembentangan Bajet 2022 bulan lalu, walaupun ada penambahan peruntukan bagi Kementerian Kesihatan, nampaknya kerajaan tidak bersedia melabur lebih dalam sektor kesihatan dengan menambah perjawatan dalam aspek penjagaan kesihatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Selain itu, ahli Parlimen Gopeng daripada PKR itu berkata, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 mesti giat dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan keberkesanan dalam membendung kesan jangkitan wabak yang lebih teruk.

Menurutnya, tanpa pemberian dos ketiga mungkin menyukarkan kerajaan mengisytiharkan peralihan fasa daripada pandemik ke endemik seperti yang diusahakan sebelum ini.

“Apabila sektor ekonomi kembali beroperasi dan orang ramai mula bergerak keluar, kes sudah pasti meningkat. Jadi semua pihak perlu mengambil tindakan sesuai dengan menilai sendiri risiko apabila hadir ke program tertentu dan membuat saringan kesihatan.

“Masih jauh untuk kita menuju ke endemik dan terlalu awal mengatakan ‘kita sudah berada di ambang kejayaan’ melawan Covid-19. Walaupun saya kata belum berjaya, setidaknya kita tidak menjadi seteruk enam bulan lalu melihat kepada kadar vaksinasi yang tinggi dan dos penggalak masih berjalan,” katanya.

Negara kembali merekodkan peningkatan kes positif Covid-19 melepasi 6,000 kes kelmarin berbanding sehari sebelumnya iaitu 4,543 kes selain kes kematian meningkat 78 kes berbanding 58 kes hari sama.

17 Oktober lalu, seluruh Lembah Klang beralih ke Fasa 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) setelah merujuk peratusan kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa manakala Melaka juga beralih ke fasa sama yang ketika ini berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) akibat pergolakan politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, negara sememangnya sudah menghampiri kejayaan yang disebutkan, namun, sikap rakyat yang leka dan mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 menyukarkan proses ke arah itu.

Beliau mengulangi peringatan sedia ada bahawa SOP seperti pemakaian pelitup muka berganda, penjarakan fizikal dan memakai cecair pembasmi kuman wajib diamalkan terutama ketika menyertai aktiviti-aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan orang ramai.

“Kes tetap akan meningkat tetapi yang penting sampai ia berada pada tahap dan kategori 3 hingga 5 kerana dikhuatiri, jika lebih ramai pesakit menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ketika katil pesakit dan alat bantuan pernafasan tidak cukup, keadaan ini yang bahaya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya