Sesi persekolahan di Selangor lancar, tiada penularan wabak - Utusan Malaysia

Sesi persekolahan di Selangor lancar, tiada penularan wabak

ANISMAH M. NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sesi persekolahan di Selangor dilaporkan lancar dan tiada penularan wabak Covid-19 melibatkan guru atau murid dimaklumkan sejak sekolah dibuka untuk sesi pembelajaran secara bersemuka pada awal bulan ini.

Malah, sehingga hari ini, semua sekolah dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan langkah pencegahan dan keselamatan diambil ketika murid dan guru hadir ke sekolah.

Perkara itu dinyatakan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Anismah M. Noh yang memaklumkan, sehingga kini, beliau belum menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak termasuk ibu bapa berhubung garis panduan serta pematuhan terhadap SOP.

“Tadi, saya sempat melawat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam dan peratus kehadiran murid agak tinggi, iaitu 80 peratus.

“Ia amat berbeza berbanding ketika Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana, kehadiran murid ke sekolah agak rendah,” katanya selepas menghadiri Program Prestij Pendidikan 2021 peringkat JPN Selangor, di sini hari ini. 

Sebelum ini, sekolah rendah dan menengah kembali dibuka secara berperingkat di seluruh negara, bermula sejak 3 Oktober lalu ketika setelah kerajaan memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bulan Jun lalu.

Sementara itu, dalam garis panduan yang ditetapkan kementerian itu, hanya murid tingkatan lima dan enam sahaja yang dapat hadir ke sekolah seperti biasa dan tidak mengikut sistem penggiliran.

Namun, menurutnya, terdapat tiga buah sekolah di negeri itu tidak mencapai kadar vaksinasi 90 peratus daripada keseluruhan murid dan ini membuatkan murid tingkatan lima dan enam sekolah tersebut terpaksa hadir ke sekolah secara bergilir-gilir.

“99 peratus warga guru di negeri ini telah lengkap vaksinasi.

“Walaupun majoriti murid dan guru divaksin, namun, orang lain termasuk ibu bapa masih lagi tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan sekolah bagi melindungi murid dan guru daripada dijangkiti Covid-19,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya