PUTRAJAYA: Tempat kerja mencatatkan jumlah terbanyak iaitu tiga daripada empat kluster Covid-19 hari ini, diikuti satu pendidikan lain.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tempat kerja melibatkan 13 kes di Kuala Langat, Selangor serta 19 kes di Batu Pahat, Johor dan lapan kes di Kuantan, Pahang.
“Satu kluster pendidikan lain dikesan di Titiwangsa, Kuala Lumpur dengan enam kes.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 288 kluster manakala 5,540 kluster yang telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 6,323 kes berbanding semalam, 6,243 kes sekali gus mengatasi 5,337 kes sembuh.
Selain itu katanya, sebanyak 544 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 280 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 6,323 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 97 kes (1.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima. Bakinya, 6,226 kes (98.5 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 59 kes berbanding kelmarin, 78 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 6 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 29,486 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 10 daripada 59 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,961 kes. -UTUSAN ONLINE