PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan pertambahan sembilan kluster baharu selepas semalam, mencatatkan lapan kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan sembilan kluster itu menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 246 kluster.
“Selain itu, 5,611 kluster yang telah tamat direkodkan manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,867 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sedikit peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 6,380 kes berbanding semalam, 6,288 kes sekali gus mengatasi 5,760 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 541 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 263 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 6,380 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 98 kes (1.5 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya, 6,282 kes (98.5 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 68 kes berbanding kelmarin, 40 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 6.30 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 29,837 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 12 daripada 68 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,036 kes. -UTUSAN ONLINE