PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan pertambahan 10 kluster baharu selepas semalam, mencatatkan sembilan kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan sepuluh kluster itu menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 246 kluster.
“Selain itu, 5,631 kluster yang telah tamat direkodkan manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,877 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sedikit penurunan kes positif Covid-19 iaitu 6,355 kes berbanding semalam, 6,380 kes sekali gus mengatasi 5,031 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 542 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 268 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 6,355 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 115 kes (1.8 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, 6,240 kes (98.2 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 55 kes berbanding kelmarin, 68 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 6.30 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 29,892 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak sembilan daripada 55 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,045 kes. -UTUSAN ONLINE