PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan pertambahan tujuh kluster Covid-19 baharu selepas semalam, turut mencatatkan tujuh kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan tujuh kluster itu menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 236 kluster.
“Selain itu, 5,684 kluster yang telah tamat direkodkan manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,920 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 5,502 kes berbanding semalam, 6,144 kes sekali gus diatasi 6,664 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 519 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 267 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 5,501 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 78 kes (1.4 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima, manakala bakinya, 5,423 kes (98.6 peratus) adalah terdiri daripada
kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 48 kes berbanding kelmarin, 37 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 30,195 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 10 daripada 48 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,106 kes. -UTUSAN ONLINE