TANGKAK: “Saya fikir isteri boleh pulih seperti sediakala selepas dijangkiti Covid-19, rupa-rupanya, dia pergi selama-lamanya selepas berkorban melahirkan anak ketiga kami yang pramatang.”
Demikian luahan Faizal Dali, 26, yang kehilangan isterinya pada 12 Julai lalu setelah wanita itu selamat menjalani pembedahan melahirkan bayi lelaki pada usia kandungan tujuh bulan.
Mengimbas detik itu, Faizal yang bekerja di sebuah kilang membuat mesin disahkan positif Covid-19 selepas arwah isterinya, Nur Farahin Emilya Ahmad Tarmezy, 27, dijangkiti apabila melakukan ujian calitan di hospital.
“Ketika itu, isteri hamil tujuh bulan dan dia pergi ke klinik kesihatan untuk melakukan pemeriksaan bulanan. Bagaimanapun, tekanan darahnya tinggi menyebabkan dia dirujuk ke hospital.
“Sewaktu arwah daftar masuk wad, dia perlu menjalani ujian calitan Covid-19 dan hasilnya positif. Sebaik mengetahui keputusan itu, saya bersama dua anak berusia empat dan dua tahun melakukan ujian sama sebelum kami seisi keluarga termasuk ibu mentua turut positif.
“Kemudian, saya bersama anak sulung, Muhammad Hamka menjalani kuarantin di Segamat manakala anak kedua, Nur Dyaa Karlisa bersama ibu mentua dikuarantin di Johor Bahru,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Faizal, sewaktu arwah Nur Farahin berada di wad Covid-19 Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, mereka sering membuat panggilan video dan dia melihat keadaan isterinya yang kerap lelah dan sukar bernafas.
“Saya ingat simptom Covid-19 biasa dan tak sangka keadaan paru-parunya semakin merosot. Setelah dua hari berada di wad, doktor memutuskan untuk isteri menjalani pembedahan meskipun ketika itu usia kandungannya baru tujuh bulan.
“Setelah selamat dibedah, keadaan oksigen isteri semakin merosot dan dua hari selepas itu, hospital memutuskan agar isteri ditidurkan. Jururawat sempat membuat panggilan video untuk saya melihat wajahnya dan nampak isteri agak lemah” katanya sebak.
Ujar Faizal, dia tidak menyangka itulah kenangan terakhir melihat wajah isterinya yang masih bernafas sebelum meninggal dunia setelah 14 hari ditidurkan.
Katanya, ketiga-tiga anaknya kini dijaga ibu mentua agar mereka selesa sementara dia pula, tinggal bersama keluarganya di daerah sama.
Terdahulu, Faizal menerima sumbangan berupa barangan keperluan serta wang tunai daripada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT). -UTUSAN ONLINE