Penempatan sementara pesakit Covid-19 di ACC HTAR ditutup - Utusan Malaysia

Penempatan sementara pesakit Covid-19 di ACC HTAR ditutup

ANGGOTA bomba melakukan sanitasi di sekitar ACC HTAR Klang, Selangor hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kompleks Rawatan Harian (ACC) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini yang sebelum ini ditutup bagi menempatkan pesakit Covid-19 akan dibuka semula kepada umum bermula Isnin depan.

HTAR dalam satu kenyataan memberitahu, kini proses sanitasi dan dekontaminasi dijalankan di sana sebagai persediaan untuk menerima pesakit yang hadir bagi mendapatkan rawatan harian di pusat klinik pakar itu.

Proses sanitasi itu dilakukan pengurusan hospital dengan kerjasama pasukan Bomba dan Penyelamat Sri Andalas dan Pelabuhan Klang bersama Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam.

“Proses-proses itu akan mengambil masa selama dua hari untuk disempurnakan iaitu pada hari ini dan esok. Ia merupakan proses sanitasi dan dekontaminasi terakhir sebelum ACC dibuka semula pada Isnin depan,” kata kenyataan itu.

HTAR turut memaklumkan pengoperasian semula klinik di ACC pula dijangka bermula pada bulan depan.

Program sanitasi dan dekontaminasi itu turut dihadiri Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd. Rawi dan Timbalan Pengarah Perubatannya, Dr. Selvamalar Selvarajan serta Dr. Md. Razis Ramli.

Pada Julai lalu, semua perkhidmatan rawatan pesakit luar HTAR ditutup sepenuhnya sebagai persediaan menghadapi pengurusan pesakit Covid-19.

Antara perkhidmatan yang terjejas adalah rawatan klinik pakar pesakit luar di ACC, perkhidmatan fisioterapi dan pemulihan carakerja di bangunan utama.

Sebelum penutupan itu, tular dalam media sosial mengenai suasana pekarangan HTAR yang terdapat beberapa pesakit diletakkan di luar wad kecemasan hospital berkenaan.

Namun, tiada lagi kesesakan dilihat berlaku apabila pesakit Covid-19 yang datang ke hospital itu dilaporkan menurun sehingga lebih 70 peratus sejak bulan ini.

Kira-kira 400 pesakit sedemikian diterima sepanjang Julai dan bilangannya kemudian menurun kepada bawah 100 individu sahaja. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya