ALOR SETAR: Seorang warga emas berumur 100 tahun teruja terima suntikan vaksin dos pertama di Klinik Kesihatan Pokok Sena di sini hari ini.
Zakaria Jab yang berasal dari Kampung Paya, Lengkuas di sini berkata, dia mengharapkan suntikan yang diterima itu dapat mengelakkan dirinya dijangkiti wabak Covid-19.
“Pada usia yang mencecah usia 100 tahun, saya tidak menolak untuk menerima suntikan vaksin kerana difahamkan warga emas lebih mudah diserang penyakit berbahaya itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir untuk menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Pokok Sena di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang membantu menolak kerusi roda Zakaria ke tempat suntikan di klinik kesihatan itu.
Zakaria berkata, sebelum ini, dia yang tidak menghidap penyakit kronik aktif menjalankan kegiatan tabligh yang disertai sejak berusia 40 tahun lagi.
“Kalau saya masih sihat, saya masih ingin terus melibatkan diri dalam kegiatan tabligh bagi menyampaikan ajaran Allah kepada umat Islam.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti bila saya dapat menyertainya lagi memandangkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak diketahui bila berakhir,” ujarnya
Dalam pada itu, tambahnya, dia yang mempunyai 13 orang anak, namun, anak ketiganya sahaja tinggal bersamanya dan isteri, Kalsom Hussin, 67, manakala anak-anaknya yang lain pula tinggal berjauhan.
“Wakil Pusat Khidmat Wakil Rakyat Parlimen Pokok Sena yang membantu mendaftarkan saya sebagai penerima vaksin Covid-19 pada awal bulan ini.
“Mereka juga ambil dan bawa saya untuk menerima suntikan vaksin di Klinik Kesihatan Pokok Sena hari ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE