PSC-19: 338 dikesan positif daripada 13,607 yang disaring - Utusan Malaysia

PSC-19: 338 dikesan positif daripada 13,607 yang disaring

JAGDEEP Singh Deo (tengah) ketika mengadakan sidang akhbar selepas memantau program PSC-19 di Sungai Bakap, Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL: Sebanyak 338 kes positif Covid-19 dikesan daripada keseluruhan 13,607 individu yang disaring menerusi program Penang Saring Covid-19 (PSC-19) antara 5 Julai lalu hingga semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, jumlah tersebut daripada keseluruhan 15,909 pendaftaran yang dibuat untuk mengesan jangkitan tersebut di 17 lokasi berasingan di seluruh Pulau Pinang sehingga kini.

Katanya, kes positif itu disahkan hasil ujian saringan kedua iaitu Polimerase-Transkripsi Terbalik atau RT-PCR.

“Seramai 338 individu ini kita akan asingkan sama ada diletakkan di pusat-pusat kuarantin atau dikuarantin di rumah masing-masing dengan pengawasan.

“Ini penting dalam usaha untuk mengurangkan jangkitan kerana mereka tidak lagi berada dalam komuniti buat masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memantau program PSC-19 bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud di Dewan Chong Kuang, Sungai Bakap, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, bagi memastikan sasaran 40,000 individu yang disaring menerusi program itu dapat dicapai lebih awal, PSC-19 yang pada asalnya dibuat setiap hujung minggu kini diadakan hampir setiap hari bermula semalam.

“Ketika ini, kita juga sedang mengkaji untuk mengadakan program ini di dua lokasi dalam masa sehari iaitu satu di bahagian pulau dan satu lagi di seberang selepas ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Jagdeep turut berharap kerajaan negeri akan menerima lebih banyak bekalan vaksin selepas ini kerana jumlah yang sedang menunggu giliran agak ramai termasuk petugas barisan hadapan seperti kakitangan MBSP dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Katanya, ketika ini kira-kira 41 peratus daripada atau 2,481 daripada keseluruhan 7,031 kakitangan di kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) itu belum menerima suntikan vaksin.

“Selain itu, penjaja di hampir 60 buah pasar awam di seluruh Pulau Pinang juga ramai yang masih belum divaksin.

“Mengikut data MBPP, seramai 1,203 daripada 2,042 penjaja belum divaksin iaitu lebih 50 peratus manakala di MBSP pula kira-kira 2,654 daripada keseluruhan 3,316 penjaja belum divaksin iaitu satu jumlah yang agak besar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya