Percepatkan, permudah pemberian vaksin tanpa mengira umur - Utusan Malaysia

Percepatkan, permudah pemberian vaksin tanpa mengira umur

KAMARUL AZMAN KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Peningkatan mendadak jumlah kes Covid-19 kebelakangan ini cukup menggerunkan meskipun pelbagai langkah telah diambil seperti pengisytiharan darurat dan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh.

Mahu tidak mahu, langkah terbaik dalam mengekang penularan Covid-19 iaitu pemberian vaksin perlu dipercepat serta dipertingkatkan tanpa mengira umur.

Pensyarah dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, pemberian vaksin perlu dipermudahkan sama ada melalui kaedah pergi rumah ke rumah, pandu lalu selain mempercepatkan pemberian kepada mereka yang mendaftar tanpa mengira umur.

Beliau yang juga Pengarah Kajian Institut Indonesia, Thailand dan Singapura UUM (UUM-ITS) berkata, isu sekarang apabila mereka yang telah lama mendaftar, namun, masih belum dipanggil sehingga kini.

“Sebagai contoh, apabila mendaftar sampai ada yang menunggu terlalu lama untuk mendapatkan dos vaksin tersebut. Percepatkan proses pendaftaran vaksin tanpa mengira umur dan peringkat kerana penyakit berjangkit itu tidak mengira umur dan waktu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, peningkatan kes Covid-19 dengan 13,215 kes, semalam sekali gus memecah rekod tertinggi sejak pandemik melanda setelah pelbagai langkah diambil seperti pengisytiharan darurat dan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan menyeluruh atau total lockdown menyebabkan rakyat di seluruh negara buntu.

Peningkatan jangkitan harian kini membingungkan rakyat yang sudah melalui tempoh ‘berkurung’ sejak lebih enam bulan lalu menerusi Proklamasi Darurat selain terpaksa melalui sekatan pergerakan penuh dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sebelum ini Kementerian Kesihatan pernah mengunjurkan kes boleh melonjak ke paras 13,000 jika total lockdown tidak dilaksanakan mulai 1 Jun lalu.

Tambah Kamarul Azman, selain itu, wajibkan kakitangan sektor terdedah seperti kilang mendapatkan rawatan dan suntikan vaksin melalui perkhidmatan bergerak tanpa sebarang pengecualian.

“Perkhidmatan bergerak itu perlu ke kilang-kilang bagi memberi suntikan vaksin memandangkan kes paling ketara Covid-19 adalah di kawasan kilang-kilang.

“Penglibatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan hospital swasta juga boleh digunakan bagi membantu mempercepatkan proses vaksinasi tersebut.

“Apa yang penting permudahkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin bagi membantu mengekang penularan Covid-19 yang semakin hari semakin membimbangkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya