PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan (KKM) menyambut baik inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan fortifikasi tepung gandum dengan zat besi dan asid folik di bawah Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am (PSTG) pek 1 kilogram.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan, semua pengilang tepung gandum yang terlibat melaksanakan inisiatif itu sejak 1 Julai lalu.
Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu sejajar saranan KKM yang mana ia salah satu intervensi kesihatan awam berkesan dan menyeluruh bagi meningkatkan pengambilan zat besi dan asid folik dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Pelaksanaan fortifikasi zat besi dan asid folik dilihat dapat membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapat akses makanan berkhasiat bagi meningkatkan status pemakanan dan kesihatan mereka dalam keadaan negara dilanda pandemik Covid-19.
“Kami berharap inisiatif ini akan terus mendapat sokongan berterusan pengilang tepung gandum untuk melaksanakan fortifikasi zat besi dan asid folik ke atas semua tepung gandum dalam pasaran di Malaysia secara mandatori,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, kekurangan zat besi dan asid folik boleh menyebabkan masalah anemia dan kecacatan kekal dalam kalangan bayi seperti Neural Tube Defect (NTD).
Noor Hisham berkata, NTD adalah masalah pembentukan dan tumbesaran saraf bayi semasa di dalam kandungan yang boleh menyebabkan bayi dilahirkan dengan tempurung kepala yang tidak lengkap (anencephaly), tumbesaran otak yang terencat dan pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna (spina bifida).
Menurutnya, masalah itu seterusnya meningkatkan kos rehabilitasi dan pengurusan pesakit, mengurangkan kualiti kehidupan dan boleh menyebabkan kematian.
“Anemia pula adalah keadaan di mana kepekatan hemoglobin (Hb) dalam sel darah merah adalah rendah.
“Anemia boleh mengakibatkan kelahiran pra-matang dan menjejaskan perkembangan mental, fizikal dan kognitif yang seterusnya akan menyebabkan masalah kurang berat lahir dan terbantut,” katanya.
Katanya, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019, 1 daripada 5 (21.3 peratus) rakyat Malaysia mengalami masalah anemia dan secara khususnya 3 daripada 10 (30 peratus) wanita usia reproduktif (15-49 tahun) mengalami masalah anemia.-UTUSAN ONLINE