PUTRAJAYA: Kadar vaksinasi harian terus mencatatkan angka melepasi 500,000 sehari sekali gus menunjukkan satu pencapaian amat baik ke arah pencapaian imuniti kelompok dalam populasi rakyat negara ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, sejak 26 Julai lalu, Malaysia mencatatkan rekod pemberian vaksin melepasi angka setengah juta dos sehari dan jumlah pemberian vaksin semalam merekodkan 512,097 dos.
Kata beliau, jumlah itu meliputi sebanyak 315,737 dos pertama, manakala 196,360 dos kedua.
“Pemberian vaksin tertinggi setakat ini ialah pada Khamis lalu iaitu dengan 556,404 dos sehari,” katanya dalam Twitter beliau hari ini.
Beliau berkata, jumlah pemberian vaksin Covid-19 sehingga semalam ialah 20,014,549 dos iaitu meliputi dos pertama ialah 13,500,479 orang, selain 6,514,070 orang menerima dos kedua.
“Terima kasih kepada semua petugas kesihatan dan sukarelawan, anda semua telah melakukan tugas yang terbaik untuk negara,” katanya. -UTUSAN