40 peratus penduduk negara ini dijangka lengkap 2 dos vaksin menjelang 31 Ogos - Utusan Malaysia

40 peratus penduduk negara ini dijangka lengkap 2 dos vaksin menjelang 31 Ogos

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menjangkakan 40 peratus daripada populasi penduduk negara ini termasuk warga asing menerima lengkap dua dos vaksin Covid-19 menjelang 31 Ogos ini.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu tidak mustahil dicapai dengan melihat kadar vaksinasi tinggi pada ketika ini.

“Saya yakin kita dapat sasaran 40 peratus populasi negara ini lengkap vaksinasi pada akhir bulan depan bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2021 nanti,” tambahnya dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Hotel Palace of the Golden Horses, Serdang dekat sini hari ini.

Setakat tengah malam semalam, seramai 20,014,549 individu menerima imunisasi di seluruh negara yang meliputi 13.5 juta untuk dos pertama dan baki 6.5 juta lengkap dua dos.

Jumlah berkenaan mewakili sekitar 20 peratus daripada keseluruhan populasi termasuk rakyat asing yang menetap di seluruh negara dan berdaftar di bawah PICK sejak Februari lalu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyuarakan keyakinan ramai menerima vaksin susulan ketibaan banyak bekalan dari pelbagai negara.

“Kita juga akan dapat sumbangan ihsan lebih 400,000 dos vaksin keluaran AstraZeneca dari Britain dalam masa terdekat yang diuruskan Suruhanjaya Tingginya di sini,” kata Khairy.

Dalam pada itu ujar beliau, perolehan bekalan sulung vaksin jenis CanSino dari China yang hanya perlu satu dos suntikan dijadualkan tiba di negara ini sekitar minggu pertama Ogos.

Stok tersebut bakal dihantar ke kawasan pendalaman terpencil kerana vaksin berkenaan tidak memerlukan suntikan dua kali yang sekali gus menjimatkan urusan logistik dan masa. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya