UKM adakan majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat untuk kesejahteraan rakyat Malaysia - Utusan Malaysia

UKM adakan majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat untuk kesejahteraan rakyat Malaysia

MAJILIS bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat untuk kesejahteraan rakyat Malaysia anjuran UKM yang diadakan secara maya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 500 warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  dan alumninya menyertai  majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat untuk kesejahteraan rakyat Malaysia umumnya dan warga institusi pengajian tinggi itu amnya yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat UKM, Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah dalam ucapannya berkata, ia adalah salah satu inisiatif universiti itu bagi memohon perlindungan dari Allah SWT agar pandemik Covid-19 berakhir segera.

“Kini dengan munculnya varian-varian baharu, kita perlu lebih berhati-hati. Perlu lebih berdisiplin dalam mengamalkan prosedur operasi standard (SOP). Kerjasama semua untuk patuh kepada arahan total lockdown yang dikeluarkan kerajaan amat diperlukan di samping mengekalkan produktiviti semasa bekerja dari rumah,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Tabung Kebajikan Pelajar HEP dan Tabung Kebajikan Pelajar Alumni bagi membantu universiti berkenaan mengendalikan proses ujian saringan Covid-19 dalam kalangan penuntut termasuk menjaga kebajikan mereka.

Menurut Imran, dana yang disumbangkan itu digunakan untuk membiayai kos makanan dan keperluan harian pelajar serta memastikan kebajikan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  dijaga dengan baik. 

Sehingga kini, katanya, seramai 5,640 penuntut masih berada di kampus..

Tambah beliau, sebagai sebuah universiti watan, UKM turut memainkan peranan dalam membantu negara bagi meningkatkan kapasiti menguji sampel pesakit bagi mengesan Covid-19 menerusi Institut Biologi Molekular (UMBI) dan Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

“Setakat ini, UKM  melakukan transformasi prasarana sedia ada mengikut trend keperluan semasa. Dewan Gemilang UKM  terpilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan  bermula 5 Mei lalu.

“HCTM UKM juga bersedia memberi vaksin secara pandu lalu. Di samping itu, UKM menerusi HCTM menjadi pelopor kepada pemberian vaksin secara bergerak atau ‘mobile’ yang merupakan prakarsa pertama di Malaysia.

“Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) UKM akan ditukar buat sementara waktu menjadi Hospital Covid-19 di bawah Ordinan Darurat bagi membantu kerajaan menampung keperluan kesihatan semasa negara.

“Demikian besarnya peranan yang dimainkan oleh UKM bagi menyumbang kepakaran, kemudahan dan juga kebitaraannya kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Justeru, beliau memohon kerjasama para alumni UKM agar dapat sama-sama membantu meningkatkan kefahaman kepada masyarakat dengan menyalurkan maklumat yang tepat tentang kebaikan vaksin supaya lebih ramai warga Malaysia mendaftar dengan segera.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap dari kita semua untuk memastikan negara mencapai imuniti kelompok,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN