LUMUT: Sebuah syarikat pemaju perumahan menyumbang sebanyak 1, 171 kotak makanan keperluan harian kepada penduduk di Bandar Baru Setiawan Perdana (BBSAP) dekat sini, semalam.
Sumbangan itu adalah atas dasar tanggungjawab sosial korporat (CSR) Syarikat Lagenda Properties Berhad melalui anak syarikatnya, Taraf Nusantara Sdn. Bhd. yang juga pemaju BBSAP di Seri Manjung, dekat sini.
Penyerahan sumbangan itu dilakukan Pengurus Jualan Lagenda Properties Sdn. Bhd., Farid Omar kepada wakil Persatuan Penduduk Residen 1 dan Residen 2 untuk diagihkan kepada penduduk-penduduk BBSAP.
Penolong Pengurus Perhubungan Awam Lagenda Properties Berhad, Wan Zakiah Wan Yacob berkata, syarikat itu sentiasa mengambil berat kebajikan penduduk tanpa mengira bentuk bantuan diperlukan.
“Hari ini juga kami menyerahkan sebuah katil hospital kepada seorang warga emas berumur 91 tahun yang uzur dan memerlukannay bagi memudahkan penjagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Zakiah, inisiatif itu dilakukan sebagai rasa keprihatinan terhadap penduduk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Sepanjang tahun ini, Lagenda Properties Berhad memberi pelbagai bentuk bantuan melebihi RM150,000 bagi membantu meringankan bebanan mereka yang terkesan akibat penularan Covid-19i,” katanya. – UTUSAN ONLINE