JELEBU: Seramai 287 penduduk Kampung Lakai, Simpang Durian, dekat sini yang dikenakan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan menjalani ujian saringan kedua Covid-19, esok.
Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim A. Aziz berkata, jumlah tersebut daripada 345 orang penduduk yang disaring awal sebelum ini dan 88 orang disahkan positif Covid-19.
Katanya, daripada jumlah positif Covid-19 itu, 22 orang dipindahkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Kuala Pilah, Port Dickson dan hospital manakala 323 orang penduduk yang lain diarah menjalani kuarantin sepenuhnya di rumah masing-masing.
“Pejabat Daerah Kesihatan Daerah (Jelebu) menjalankan saringan dan bertindak seminggu lalu disebabkan semua pesakit kes Covid-19 di sini diketahui awal dan dihantar ke PKRC Kuala Pilah.
“Bagi mereka (penduduk) yang memakai gelang merah yang masih kami tidak ketahui sama ada mereka positif Covid-19 atau tidak, mereka diharap dapat kekal di rumah sahaja bagi kita putuskan rantaian Covid-19. Seramai 287 orang akan menjalani saringan kedua esok dan dari keputusan kedua ini kita akan melihat keadaan kes di PKPD ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pelaksanaan PKPD Kampung Lakai, dekat sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan bersetuju supaya PKPD dilaksanakan di kampung berkenaan berkuat kuasa hari ini sehingga 27 Jun ini.
Ia selepas penilaian risiko yang dibuat bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, Abdul Rahim menjelaskan, punca jangkitan di Kampung Lakai ini adalah daripada seorang wanita berusia 28 tahun yang menjalani ujian saringan bergejala di Hospital Jelebu pada 30 Mei lalu.
“Kes tersebut disahkan positif Covid-19 pada 31 Mei lalu dan pejabat kesihatan daerah menjalankan saringan kontak rapat kes seramai 56 orang dijalankan yang mana 36 orang daripadanya positif.
“Kami juga dimaklumkan terdapat satu kematian pada pukul 8.28 malam semalam yang merupakan kematian pertama yang berkaitan Kluster Kampung Lakai ini,” katanya.
Sementara itu, berhubung bantuan keperluan makanan, beliau memaklumkan, penduduk yang terkesan dan menjalani kuarantin akan mendapat barang basah setiap tiga hari dan barang kering seminggu sekali.
“Bantuan itu diagihkan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat kerana semua penduduk tidak dibenarkan untuk keluar dari rumah masing-masing,” katanya. – UTUSAN ONLINE