PETALING JAYA: Kerajaan akan mempertimbang untuk mengalihkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh daripada fasa pertama kepada fasa kedua sekiranya purata kes Covid-19 menurun di bawah 4,000 kes sehari.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beberapa faktor lain juga perlu diambil kira sebelum PKP beralih ke fasa kedua.
“Ini termasuk sistem kesihatan awam tidak lagi berada di peringkat kritikal termasuk kadar penggunaan katil di unit rawatan intensif (ICU) pulih ke paras sederhana.
“10 peratus populasi negara telah menerima dua dos suntikan vaksin,” katanya ketika menyampaikan perutusan khas secara langsung, hari ini.
Katanya lagi, aktiviti sosial dan kawalan pergerakan terus dikawal dengan ketat pada fasa kedua namun mengikut beberapa syarat yang ditetapkan.
“Aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dengan membenarkan kapasiti pekerja sehingga 80 peratus di premis, sekarang ini 60 peratus.
“Pendekatan senarai positif diteruskan iaitu hanya sektor yang tersenarai dibenarkan beroperasi manakala yang tidak tersenarai masih kekal ditutup,” katanya.
Tambahnya, senarai positif daripada fasa pertama akan juga diperluaskan semasa Fasa 2 dengan menambahkan beberapa sektor.
“Namun aktiviti sosial dan rentas negeri masih tidak dibenarkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE