Perlis benarkan solat jemaah di masjid - Utusan Malaysia

Perlis benarkan solat jemaah di masjid

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Penularan kes Covid-19 yang semakin menurun dan terkawal di Perlis mendorong aktiviti solat berjemaah di masjid di seluruh negeri ini dibenarkan bermula esok.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, solat jemaah di masjid tersebut adalah dengan kapasiti maksimum mengikut saiz sesuatu masjid itu.

Titah baginda, keputusan tersebut selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berdasarkan situasi semasa penularan Covid-19 di Perlis yang dilihat semakin terkawal serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada oleh masyarakat negeri ini.

“Kehadiran jemaah di masjid seluruh Perlis dibolehkan dengan kapasiti maksimum mengikut saiz masjid bermula solat Subuh bermula esok sehingga tempoh baharu arahan terkini yang mungkin dikeluarkan.

“Namun, kebenaran ini hanya terpakai di masjid di seluruh negeri Perlis, manakala sebarang aktiviti di surau kekal ditangguhkan,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah, sebagai langkah pencegahan dan ikhtiar mengelakkan penularan Covid-19, pematuhan SOP kepada jemaah yang hadir tetap diperketat.

Titah baginda, jemaah yang hadir hendaklah sentiasa mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan antaranya dengan memakai pelitup muka atau digalakkan memakai dua pelitup muka serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka (face shield).

“Jemaah masjid hendaklah sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua meter pada setiap masa. Selain itu, jemaah juga perlu membawa sejadah sendiri bersaiz standard, mengambil wuduk sebelum ke masjid dan tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman.

“Selain itu, jemaah juga perlu mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial dengan mengimbas aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, jemaah juga hendak terdiri dalam kalangan anak kariah  yang berusia antara 12 hingga 59 tahun.

Baginda bertitah, bagaimanapun, bagi jemaah yang berusia 60 tahun ke atas, adalah dibenarkan dengan syarat mereka telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.

“Sebagai langkah kawalan, mereka yang terbabit dengan aktiviti rentas sempadan dan negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari adalah tidak dibenarkan hadir.

“Demikian juga ahli keluarga mereka yang tinggal bersama tidak dibenarkan hadir melainkan ahli keluarga yang sudah lengkap dua dos suntikan vaksin,” titahnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya