SEREMBAN: Negeri Sembilan menggesa kerajaan Persekutuan mempertimbang tambahan vaksin buat negeri ini berikutan kemudahan dalam pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini mampu mencecah kapasiti 14,000 orang sehari.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata, buat masa ini, kerajaan negeri belum menerima jawapan positif daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berhubung jaminan bekalan vaksin berkenaan.
Menurutnya, sebanyak 59 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dijangka beroperasi di seluruh negeri ini selewat-lewatnya hujung bulan ini.
“Kita memiliki pegawai kerajaan dalam fasiliti kesihatan sedia ada untuk mengendalikan program vaksinasi setiap hari termasuk pada hari Sabtu dan Ahad.
“Kerajaan negeri malah akan membuka sebuah mega PPV dan lokasi yang dicadangkan adalah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Veerapan berkata, Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) Negeri Sembilan juga telah menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan dan semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memaklumkan permohonan kerajaan negeri untuk tambahan vaksin dengan kadar segera.
“Kerajaan Persekutuan perlu jawab isu ini dengan segera. Kerajaan Persekutuan kata kerajaan negeri boleh membeli vaksin tetapi kesemua vaksin yang diluluskan perlu melalui mereka.
“Kerajaan Negeri Sembilan juga telah menulis surat kepada pihak Pfizer, Sinovac, Moderna dan Sinophram untuk tujuan pembelian vaksin, tetapi masih tiada jawapan,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Persekutuan juga perlu mempertimbangkan kelulusan lebih banyak lagi vaksin sekiranya memenuhi syarat dan capaian sasaran 80 peratus imuniti berkelompok di negara ini.
“Vaksin Sputnik digunakan di India dan kes Covid-19 turun secara mendadak. Kerajaan Persekutuan perlu luluskan lebih banyak jenis vaksin sekiranya ingin capai sasaran 80 peratus imuniti berkelompok seperti yang disasarkan,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE