Negara Barat bolot vaksin? Tidak perlu salahkan negara lain, tempelak Guang Eng - Utusan Malaysia

Negara Barat bolot vaksin? Tidak perlu salahkan negara lain, tempelak Guang Eng

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menempelak tindakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin yang menyalahkan negara-negara Barat menjadi punca bekalan vaksin lewat tiba di Malaysia.

Malah, beliau juga meluahkan rasa terkejut apabila Khairy mengatakan bahawa vaksinasi bukanlah penyelesaian yang terjamin untuk pandemik Covid-19, sedangkan, katanya, itulah yang sedang berlaku di seluruh dunia.

“Banyak negara telah dibuka semula kerana kejayaan program imunisasi mereka sehingga kita dapat melihat stadium bola sepak dipenuhi orang yang menyaksikan kejuaraan bola sepak Euro 2020.

“Sebaliknya Malaysia berada dalam ‘total lockdown’. Jelas, vaksinasi masih merupakan jalan keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Guan Eng juga tidak boleh menerima sikap Khairy menyalahkan negara-negara Barat kerana membolot bekalan vaksin sebaliknya menganggap kerajaan tidak cekap untuk mendapatkan vaksin dengan segera.

“Masalah seperti itu nampaknya tidak dihadapi Singapura dan Indonesia.

“Adakah Khairy ingin mengatakan kepada rakyat Malaysia bahawa kita mungkin membelanjakan RM5 bilion dengan sia-sia untuk mencapai sasaran vaksinasi 80 peratus penduduk bagi mencapai “imuniti kelompok” terhadap Covid-19 menjelang 31 Disember 2021?,” soalnya.

Justeru, beliau meminta Khairy menjelaskan secara terbuka pernyataannya dalam webinar yang dianjurkan oleh Oxford & Cambridge Alumni Network Malaysia pada 16 Jun lalu bahawa imuniti kelompok bukanlah penyelesaiannya.

“Menambah kekeliruan dasar mengenai imuniti kelompok, Perdana Menteri ,Tan Sri Muhyiddin Yasin terus menggunakan istilah tersebut beberapa hari yang lalu. Jadi adakah kerajaan telah berubah-ubah fikiran lagi sama ada mereka telah mengabaikan matlamat imuniti kelompok?,” katanya.

Pada masa sama, Guan Eng juga menggesa Khairy menjawab mengapa golongan yang berkemampuan tidak boleh membayar kos pentadbiran bagi mendapatkan vaksin percuma seperti syarikat yang membayar untuk mengambil bahagian dalam inisiatif Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI).

“Sekiranya syarikat boleh membayar kos pentadbiran sehingga RM45 setiap dos bagi mendapatkan vaksin percuma untuk pekerjanya, termasuk pekerja asing, mengapa tidak membenarkan rakyat Malaysia menerima kemudahan yang sama untuk membayar bagi mendapatkan vaksin percuma?,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya