GEORGETOWN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan akan mengatasi isu kenaikan mendadak harga sayur-sayuran di Cameron Highlands, Pahang yang dilaporkan berlaku ketika ini.
Timbalan Menteri II kementerian itu, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pihaknya dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperhalusi langkah segera yang boleh diambil bagi mengatasi isu itu di semua peringkat dari pengeluar sehingga ke pengguna.
Malah jelas beliau, pihaknya juga menyediakan bilik gerakan yang beroperasi penuh melibatkan beberapa pegawai bagi memastikan sebarang masalah yang dihadapi sepanjang rantaian bekalan tersebut dapat diselesaikan dari semasa ke semasa.
“Kita tidak menafikan di mana-mana pun akan ada masalah terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) (penuh) sekarang ini.
“Kita sudah mendapat maklumat mengenai masalah kenaikan harga sayur-sayuran itu dan sedang memperhalusinya segera supaya jalan penyelesaian dapat diambil,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan harga beberapa jenis sayur-sayuran mengalami peningkatan antara 30 hingga 40 peratus sejak Isnin lalu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Cameron Highlands.
Antara sayur-sayuran itu ialah tomato, timun jepun, cili, kobis, kacang buncis, lada manis atau lada benggala dan semua jenis salad disebabkan pengeluaran terpaksa dihentikan ekoran 12,000 pekerja asing dan tempatan di kawasan tanah tinggi itu tidak dapat bekerja.
Menurut Che Abdullah, sektor pertanian dikategorikan sebagai perkhidmatan penting dan sepatutnya berjalan seperti biasa namun pelaksanaannya mungkin berbeza disebabkan arahan PKP atau PKPD.
Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan masih perlu mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kerana tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan dengan menggunakan alasan dari sektor pertanian namun sebenarnya untuk tujuan lain.
“Prosesnya mungkin mengambil masa kerana SOP yang ketat dan situasi ini mungkin menyukarkan tetapi dari segi operasi sektor pertanian memang dibenarkan beroperasi,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, stok bekalan ikan untuk dipasarkan kepada pengguna masih mencukupi meskipun tempoh PKP 3.0 disambung dua minggu lagi sehingga hujung bulan ini.
Jelasnya, orang ramai tidak perlu bimbang atau membuat pembelian panik kerana stok bekalan ikan ketika ini dianggarkan sebanyak 185,000 tan metrik sebulan iaitu melebihi permintaan pengguna sekitar 155,000 tan metrik sebulan.
“Stok bekalan ini adalah hasil daripada pendaratan sebanyak 41,364.82 tan metrik ikan dengan nilai RM164 juta antara Januari hingga Mei lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE