Kit ujian air liur hanya di makmal - Utusan Malaysia

Kit ujian air liur hanya di makmal

DR. ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penggunaan kit ujian air liur bagi saringan awal wabak Covid-19 secara kendiri belum boleh dilaksanakan di negara ini walaupun sudah meluas digunakan di makmal.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, kit berkenaan juga perlu melalui siri proses penilaian ketat oleh pihak berwajib sebelum diberikan kelulusan untuk pemasaran.

“Perkara ini saya akan umumkan dalam masa terdekat dan buat masa sekarang, kit ini hanya boleh dipakai dalam makmal dengan pemantauan kalangan petugas terlatih sahaja,” katanya dalam sidang akhbar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang turut disertai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah pada 8 Mei lepas  memaklumkan ada dua syarikat menawarkan kit ujian itu untuk dijual di farmasi tempatan.

Dua jenis peranti berbeza itu membolehkan masyarakat membuat saringan secara kendiri tanpa perlu lagi pergi ke pusat ujian kerana masalah jarak dan kekangan masa terhad.

Namun pada 27 Mei lalu, Adham menegaskan bahawa kit tersebut belum dapat dipasarkan meskipun pengeluarnya itu mendakwa ada kelulusan Persatuan Peranti Perubatan Malaysia.

Pada masa sama, kit pernafasan yang dibangunkan Singapura seumpama peranti penguji paras kandungan alkohol pemandu mabuk di jalan raya turut diteliti Kementerian Kesihatan.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, pihaknya turut berhasrat agar kit saringan yang lazim iaitu RTK Antigen juga dijual kepada masyarakat di farmasi untuk ujian secara kendiri di rumah.

“Harganya kelak dikawal supaya berpatutan kerana Ordinan Darurat yang diwartakan pada awal tahun ini turut menetapkan harga siling bagi pelaksanaan ujian saringan itu,” katanya.

Justeru kata beliau, sekiranya ada klinik swasta cuba mengambil kesempatan mengenakan harga terlalu tinggi tanpa diperincikan kos sebenar, orang ramai boleh membuat aduan rasmi.

 Adham menambah, sehingga 12 Jun lalu, sejumlah 13,210,455 ujian saringan dilaksanakan di seluruh negara dengan sebanyak 629,894 ujian itu telah dilakukan sepanjang minggu lepas.

Selangor ujar, Adham, merekodkan saringan yang paling banyak pada minggu lalu iaitu 148,141 manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya pula paling kurang dengan cuma 2,365 ujian. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya