Kilang dikompaun benarkan individu dalam pengawasan hadir bekerja - Utusan Malaysia

Kilang dikompaun benarkan individu dalam pengawasan hadir bekerja

MIOR Faridalathrash Wahid memeriksa sebuah kilang dalam Operasi Bersepadu Pemantauan Covid-19 di Taiping, Perak,  hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Tindakan sebuah kilang sarung tangan di sini membenarkan pekerjanya yang merupakan individu dalam pengawasan (PUS) hadir bekerja, mengundang padah apabila dikenakan kompaun RM10,000 hari ini.

Perbuatan tersebut dikesan dalam Op Covid-19: Pasukan Pemantau Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan di kilang-kilang di daerah ini, hari ini yang diketuai Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Menurut Mior Farid, kilang tersebut juga dikenakan kompaun RM2,000 kerana membenarkan pekerja terbabit masuk ke kawasan premis berkenaan.

Katanya, selain dikompaun atas kesalahan itu, kilang berkenaan dikenakan kompaun RM10,000 selepas didapati kehadiran pekerja melebihi 60 peratus.

“Apabila kita semak rekod MySejahtera, kita dapati terdapat pekerja merupakan individu yang dikatakan suspek dan berisiko tinggi (jangkitan Covid-19) di mana dia sepatutnya tidak dibenarkan hadir bekerja.

“Atas kesalahan itu, dua kompaun telah dikeluarkan ke atas pemilik kilang kerana membenarkan pekerja berstatus suspek memasuki premis dan bekerja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping, di sini hari ini.

Menurut Mior Farid, dalam operasi yang turut disertai agensi penguatkuasaan lain itu, pemeriksaan dijalankan di enam buah kilang iaitu tiga buah kilang sarung tangan, dua buah kilang sardin dan sebuah kilang peralatan hospital.

Katanya, hanya tiga buah kilang yang dikenakan kompaun setelah didapati melanggar SOP PKP.

“Sebuah lagi kilang sarung tangan turut dikenakan kompaun kerana didapati kehadiran pekerja di premis itu hampir 75 peratus dan diarah tutup serta-merta selama seminggu.

“Kilang sama juga dikenakan kompaun kerana gagal menjalankan sanitasi tiga kali sehari selain sebuah kilang peralatan hospital dikompaun selepas didapati gagal memastikan pekerja mengimbas kod MySejahtera sebelum memasuki premis mereka bekerja,” katanya.

Menurutnya, operasi yang diadakan hari ini dijalankan serentak bersama dua daerah lain iaitu di Manjung dan Hilir Perak.

“Bagi daerah Taiping, kita telah periksa enam buah kilang dengan tiga daripadanya dikesan melanggar SOP PKP dan dikenakan kompaun keseluruhan berjumlah RM50,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya