KLANG: Keadaan persekitaran Jalan Jati Kiri, Kampung Perepat, di sini sunyi dengan bilangan kenderaan dan orang ramai yang berada di atas jalan raya juga tidak banyak seperti hari-hari biasa.
Tinjauan Utusan Malaysia di kampung berkenaan hari ini mendapati, aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh peniaga di tepi jalan dan kedai runcit berlangsung seperti biasa namun bilangan pengunjung tidak ramai.
Kawasan perumahan juga lengang dengan pagar, pintu dan tingkap sentiasa bertutup. Penduduk juga masing-masing duduk di dalam rumah dan tidak ada yang berada di luar rumah.
Seorang penduduk yang ditemui, S. Selvam, 60, berkata, dia bimbang dengan kewujudan kluster Covid-19 di kawasan itu dan akan keluar seorang diri untuk membeli keperluan rumah.
Katanya, isterinya akan berada di rumah sepanjang masa manakala empat anak-anaknya keluar bekerja kerana mempunyai surat kebenaran.
“Saya keluar seorang diri dan selepas membeli keperluan harian, saya akan terus pulang ke rumah.
“Anak-anak juga sebaik pulang dari tempat kerja, mereka akan membersihkan diri dan kami sama-sama akan pastikan kawasan kediaman kami bersih,” katanya yang mengutamakan pemakaian pelitup muka dan penggunaan pembasmi tangan.
Deretan kilang-kilang seperti kilang perabot, kayu, plastik dan barangan kitar semula di sepanjang Jalan Jati Kiri semuanya bertutup dengan pagar dan hanya beberapa pekerja kilang kelihatan sedang melakukan kerja-kerja pemunggahan.
Pada 21 Jun lalu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan terdapat 22 kluster baharu dilaporkan dengan tiga daripadanya merupakan kluster industri di Kapar iaitu kluster industri Jati Kiri dan Batu Besar serta kluster Jalan Bebas Tiga di Pulau Indah, dekat sini.
Ketiga-tiga kluster industri ini dikenal pasti hasil saringan bersasar di tempat kerja. Kluster industri Jati Kiri melibatkan pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Jalan Jati Kiri, Kapar, di sini apabila sebanyak 184 kes dikenal pasti hasil daripada 404 jumlah saringan yang dijalankan.
Kluster industri Batu Besar melibatkan pekerja sebuah kilang di Batu 8, Jalan Kapar iaitu 130 kes daripada 229 jumlah saringan dan Kluster Jalan Bebas Tiga dmelibatkan pekerja-pekerja sebuah syarikat perkhidmatan yang terletak di Persiaran Pelabuhan Klang FZ4, Pulau Indah iaitu sebanyak 24 kes daripada 240 jumlah saringan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr. Daroyah Alwi berkata, pihaknya turut memberi bantuan seperti sumbangan food bank kepada golongan terjejas semasa Covid-19 terdiri daripada para nelayan, peniaga, pemandu bas, van sekolah, pemandu teksi, ibu tunggal, golongan kurang upaya dan individu yang kehilangan pekerjaan.
“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sehingga kini 3.0, pejabat DUN Sementa sentiasa membantu masyarakat yang terkesan dengan Covid-19 ini.
“Kami bukan sahaja membantu golongan susah tetapi bantuan turut diberikan kepada keluarga yang menjalani kuarantin di rumah bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan makanan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Daroyah, pihaknya menerusi laman media sosial dan e-poster turut menggalakkan penduduk di kawasan itu untuk mendaftar dengan aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksin.
Ujarnya, pada masa sekarang, terdapat sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) yang beroperasi di dewan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kapar dan ia secara tidak langsung telah memberi lebih galakan kepada penduduk di sekitar yang sudah dipanggil untuk diberikan vaksin agar tampil mendapatkannya.
“Mengenai kluster industri, ia merupakan kluster tersasar iaitu ujian saringan dilakukan oleh kilang-kilang berkenaan dan saya juga gembira apabila lebih 3,000 penduduk di DUN Sementa turut tampil ke hadapan ketika Kerajaan Negeri Selangor membuat saringan Covid-19 di kawasan ini pada 29 Mei lalu.
“Ini merupakan langkah yang baik sebenarnya untuk kita membendung penularan pandemik Covid-19 dalam kalangan komuniti dan saya berharap agar mereka terus mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di luar,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE