MUAR: Sejumlah RM244,000 nilai kompaun dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor melalui operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 terhadap bas dan van pekerja kilang.
Pengarah JPJ negeri, Azmil Zainal Adnan berkata, nilai kompaun membabitkan 30 notis yang dikeluarkan terbabit adalah hasil daripada operasi di Johor Bahru dan Tangkak.
“Dalam keseluruhan operasi yang dijalankan pada kelmarin dan semalam, sejumlah 28 kenderaan membabitkan bas dan van pekerja kilang diperiksa. Daripada jumlah itu, 30 kesalahan dikesan antaranya membawa muatan melebihi had 50 peratus.
“Selain itu, kesalahan seperti gagal menyediakan peralatan sanitasi tangan dan kod pengimbas MySejahtera juga mengakibatkan ada kenderaan berat ini dikompaun,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ Cawangan Muar selepas operasi Penguatkuasaan SOP Covid-19 bagi pengangkutan awam dan bas pekerja kilang di Tanjung Agas, Tangkak, hari ini.
Operasi berkenaan turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor serta Jabatan Kesihatan Negeri.
Menurut Azmil, operasi itu penting bagi memastikan pematuhan dalam kalangan pengusaha bas dan van kilang memandangkan suasana pandemik yang masih membimbangkan ketika ini.
“Semua pihak harus patuh dan akur dengan SOP ditetapkan kerajaan tak kira di mana mereka berada. Bagi kumpulan yang bekerja seperti ini, mereka lebih terdedah dan seharusnya golongan ini lebih peka untuk patuh SOP bagi membendung jangkitan.
“Justeru, operasi seperti ini terus diperluas ke seluruh negeri bagi memastikan pematuhan SOP terhadap pengangkutan awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE