JELEBU: Tiada surat kebenaran merentas negeri adalah antara kesalahan tertinggi yang dikenakan kompaun di daerah ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dikuatkuasakan.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, lebih daripada 40 kes yang direkodkan di daerah ini untuk kesalahan tersebut dan kesemua daripada mereka yang dikompaun itu menjadikan ‘jalan dalam’ di daerah ini sebagai laluan mereka untuk cuba ke Pantai Timur dan Selatan.
“Lebih daripada 40 individu dikenakan kompaun daripada 266 kes kompaun keseluruhan ekoran melanggar SOP di daerah ini.
Kebanyakan mereka yang cuba merentas negeri ini didapati menggunakan jalan dalam (jalan negeri) untuk ke Pantai Timur dan ke arah Selatan. Hari ini juga terdapat satu lagi pelanggaran SOP dengan tiada kebenaran merentas negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Lakai, Simpang Durian, dekat sini hari ini.
Sementara itu, Maslan menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi SOP dan peka dengan arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Bagi mereka yang memasuki daerah Jelebu mestilah mempunyai surat kebenaran daripada agensi yang berkaitan termasuk polis supaya mereka dapat melalui sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini.
“Sekiranya mereka gagal (menunjukkan surat kebenaran), tentu polis mengambil tindakan tegas,” katanya sambil memberitahu sebanyak 45 kes berkaitan pelanggaran SOP di daerah ini dituduh di mahkamah. – UTUSAN ONLINE