BAGAN SERAI: Tahap penggunaan katil di hospital seluruh negara ketika ini berada pada tahap sesak dan padat akibat Covid-19, namun, keadaan masih terkawal.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kekurangan katil di hospital bagaimanapun tidak menyebabkan berlaku situasi di mana pesakit terpaksa diletakkan di tepi kaki lima.
Katanya, kerajaan sedang berusaha untuk menambah jumlah katil hospital termasuk berusaha keras mengurangkan kes jangkitan Covid-19.
“Sejak dari awal lagi, kita sentiasa menambah bilangan katil serta mesin ventilator untuk hospital yang amat memerlukannya.
“Keadaan di hospital memang pada tahap sesak serta padat dan kerajaan sentiasa berusaha untuk menambah kekurangan katil pada hospital -hospital yang memerlukannya.
“Namun, keadaan itu tidaklah sampai ke tahap untuk meletakkan pesakit di tepi jalan atau kaki lima,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kedua Daerah Kerian di Dewan Datuk Zainal Abidin Zin di sini hari ini.
Menurut Noor Azmi, jika berlaku kesesakan, kerajaan akan segera berusaha menangani masalah itu yang hospital yang terlibat.
Noor Azmi meminta rakyat agar terus duduk di rumah bagi mengurangkan kadar jangkitan Covid-19.
“Oleh sebab itu, kerajaan memperkenalkan sekatan pergerakan penuh sekali lagi,” katanya.
Sementara itu, mengenai vaksin Covid-19 kepada ibu mengandung, Noor Azmi berkata, golongan itu juga akan diberikan vaksin jenis Pfizer.
“Ibu mengandung boleh mengemaskini status mengenai keadaan terkini mereka menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya. – UTUSAN ONLINE