KUANTAN: Mana-mana individu yang mencuba nasib mendapatkan vaksin Covid-19 dengan hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) tanpa janji temu akan diberi amaran dan boleh dikenakan kompaun.
Peringatan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri susulan tindakan sesetengah individu tanpa janji temu yang berkumpul di pusat vaksin dengan harapan diberi peluang mendapatkan suntikan.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Bahari Che Awang Ngah berkata, tindakan kumpulan atau individu terbabit bukan sahaja menyukarkan proses kawalan keselamatan di PPV, malah mengakibatkan kesesakan yang tidak sepatutnya berlaku di situ.
“Tindakan seperti ini sangat dikesali dan janganlah datang ke PPV jika anda belum menerima pengesahan janji temu untuk suntikan vaksin. Kita tidak mahu suasana bersesak atau kehadiran terlalu ramai orang di PPV dalam satu-satu masa.
“Kami memberi amaran terlebih dahulu namun jika perkara ini terus berulang, JKNP tidak ada pilihan lain dan kami boleh mengeluarkan kompaun kepada mereka yang sengaja hadir ke PPV tanpa janji temu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr. Bahari berkata, kaedah pengurusan vaksin di semua PPV dilakukan berdasarkan senarai janji temu yang sudah disahkan melalui aplikasi MySejahtera dan perkara itu sepatutnya difahami oleh orang ramai.
Katanya, kerajaan Pusat dan negeri juga sudah menyediakan platform khusus bagi memudahkan pendaftaran vaksin, melalui aplikasi MySejahtera dan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang.
“Saya ada menerima laporan daripada (pengendali) PPV membabitkan kes individu tanpa janji temu yang berkumpul di pusat vaksin dengan harapan diberi peluang mendapatkan vaksin Covid-19.
“Kita perlu ikut proses ditetapkan, bukan boleh datang secara ‘walk-in’ seperti itu. Jadi apabila keadaan seperti ini berlaku, petugas di PPV terpaksa meminta bantuan pihak berkuasa untuk mengarahkan kumpulan atau individu ini beredar dari kawasan (PPV) berkenaan,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang tahap kehadiran penerima vaksin yang memiliki janji temu, beliau berkata, pihaknya sudah mempunyai senarai nama kedua sekiranya individu yang dijadualkan menerima vaksin tidak dapat hadir.
“Semua senarai penerima vaksin dan daftar nama kedua untuk dihubungi sekiranya penerima (yang dijadualkan) tidak datang memang sudah sedia ada dalam simpanan setiap PPV.
“Tidak ada istilah orang ramai boleh mencuba nasib untuk mendapatkan vaksin kerana ia dilakukan secara sistematik. Kita tidak semudahnya akan melayan permintaan individu yang ingin mendapatkan vaksin secara ‘walk-in’ kerana semua perlu mengikut prosedur ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE