Cadang kilang cetus kluster industri ditutup - Aminuddin - Utusan Malaysia

Cadang kilang cetus kluster industri ditutup – Aminuddin

AMINUDDIN Harun
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mencadangkan kilang-kilang di negeri ini yang dikenal pasti mencetuskan kluster industri disebabkan kes positif Covid-19 ditutup oleh pihak penguat kuasa dalam tempoh 14 hari.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang bertanggungjawab.

Ujar beliau, langkah itu bagi memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dapat dijalankan dengan baik sekali gus mengawal kes Covid-19 yang agak tinggi di negeri ini.

“Jika berlaku kes positif Covid-19 melibatkan pekerja di sesebuah kilang, kita cadangkan pihak penguat kuasa berkaitan mengarahkan kilang tersebut ditutup selama 14 hari.

“Kita memohon pihak PKD mempertimbangkan cadangan ini supaya kluster industri dapat dikawal dan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco hari ini

Sebagai rekod, sebanyak 17 kluster industri yang aktif dilaporkan di Negeri Sembilan setakat semalam antaranya Kluster Industri Senawang, Industri Persiaran Bunga Tanjung Dua, Industri Dioh dan Industri Jalan Teknologi Lima Nilai.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, setakat ini, pendaftaran vaksinasi Covid-19 di Negeri Sembilan telah mencapai 655,865 orang atau 80.5 peratus daripada keseluruhan penduduk di negeri ini.

“Daripada jumlah itu, 177,793 individu telah menerima dos pertama manakala 90,203 penerima sudah melengkapkan dua dos vaksin.

“Jadi, saya berharap dengan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) baharu, kita akan mencapai sasaran 20,000 vaksin diberikan kepada rakyat di Negeri Sembilan dalam sehari,” katanya.

Beliau berkata, Kompleks Belia dan Sukan di Paroi dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Rembau akan dijadikan PPV baharu yang dijangka dibuka pada 5 Julai ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) memperuntukkan dana sebanyak RM2.65 juta menerusi Bantuan Zakat Khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kepada golongan sasar yang terkesan dengan Covid-19.

“Bantuan ini adalah inisiatif bagi membantu golongan yang terkesan akibat PKP 3.0 dari segi bantuan keperluan asasi untuk kelangsungan kehidupan.

“Peruntukan diberikan kepada beberapa segmen iaitu Bantuan Khas Tunai Covid-19 sebanyak RM1.4 juta bagi individu dan keluarga yang terjejas sepanjang PKP ini terutama golongan yang kehilangan pekerjaan, peniaga dan penjaja kecil serta pekerja harian,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga akan memberi peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menyalurkan bantuan tunai secara “one-off” kepada rakyat yang terjejas akibat PKP 3.0.

“Mereka yang kehilangan pekerjaan boleh membuat permohonan secara dalam talian di mana kaedah Permohonan adalah melalui sistem aplikasi N9 Digital atau melalui laman web https://www.n9.digital,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya