Berlaku adil dalam desakan supaya semua kilang ditutup  - Utusan Malaysia

Berlaku adil dalam desakan supaya semua kilang ditutup 

JIMMY ONG CHING KENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Semua pihak digesa berlaku adil dalam desakan supaya operasi seluruh kilang ditutup sepenuhnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi membendung penularan kes Covid-19. 

Pengerusi Persekutuan Kilang-Kilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang, Datuk Jimmy Ong Ching Keng berkata, penularan Covid-19 ketika ini memberi kesan kepada semua pihak sama ada di dalam komuniti atau industri sekali gus tidak wajar menuding jari kepada mana-mana pihak sebagai penyebab. 

Jelasnya, semua pihak juga wajar memahami peranan serta tanggungjawab yang dimainkan setiap sektor dan bersama-sama berganding bahu dalam mendepani cabaran pandemik tersebut. 

“Berilah ruang kepada sektor perindustrian dan perkilangan mencari keseimbangan dalam memastikan para pekerjanya masih dapat mencari rezeki buat keluarga mereka dan dalam masa sama mengekang penularan wabak Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Beliau ditanya berhubung desakan pelbagai pihak supaya kerajaan Pusat mengambil keputusan menutup sepenuhnya operasi semua kilang di seluruh negara ketika ini dalam usaha bersungguh-sungguh mengurangkan kes positif harian Covid-19. 

Ini kerana kluster tempat kerja khususnya dari sektor perkilangan dan perindustrian kini menjadi kluster terbesar dan penyumbang utama kepada kes positif harian wabak itu menyebabkan banyak pihak mempersoalkan kewajaran pelaksanaan PKP 3.0 ketika ini. 

Di Pulau Pinang misalnya setakat kelmarin, perebakan jangkitan di tempat kerja terus mencatatkan jumlah laporan tertinggi iaitu membabitkan 27 kluster kilang dan tiga bukan kilang selain masing-masing dua kluster tapak binaan dan komuniti dan satu kluster pusat tahanan serta keagamaan. 

Menurut Jimmy Ong, majoriti penggiat sektor perkilangan dan perindustrian ketika ini juga sudah berada dalam tekanan kerana perlu beroperasi dalam pelbagai prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 seperti ditetapkan kerajaan. 

Malah katanya, sektor perkilangan dan perindustrian juga menerima impak negatif ekoran tindakan beberapa pihak yang tidak mematuhi SOP sehingga menyebabkan diserbu dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa. 

“Tetapi secara keseluruhannya, syarikat-syarikat dari sektor ini yang dibenarkan beroperasi mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha bersama-sama mengekang penularan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya