PUTRAJAYA: Sebanyak 700 janji temu diberikan kepada petugas media di seluruh negara untuk dos pertama vaksinasi Covid-19 setakat hari ini.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu adalah sebahagian daripada kira-kira 5,000 nama yang disenaraikan di seluruh negara.
Beliau berkata, lebih banyak janji temu dikeluarkan minggu ini.
“Setakat hari ini, lebih 250 pengamal media di beberapa negeri sudah menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 sejak ia dilaksanakan Rabu lalu,” katanya dalam sidang akhbar mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.
Katanya, buat masa ini, CITF dalam proses memberikan janji temu kepada petugas media yang membuat liputan ke Sukan Olimpik Tokyo, hujung Julai ini
Khairy berkata, hari ini, 38 daripada 47 petugas media daripada agensi berita tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan itu menerima dos vaksin pertama mereka.
“Mereka mendapat suntikan dos pertama di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) dengan bantuan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).
“Bagi petugas media yang mendapat suntikan dos pertama seperti AstraZeneca, CITF akan mengatur janji temu dos kedua mereka supaya mereka sempat melengkapkan perlindungan mereka sebelum berlepas bulan depan,” katanya.
Katanya, CITF perlu mengimbangi keperluan vaksinasi buat rakan-rakan media dengan keperluan imunisasi untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan komorbid yang turut diutamakan dalam Fasa 2 PICK.
Sebelum ini, seramai 100 petugas media menerima suntikan pertama di Dewan Seroja Putrajaya Rabu lalu diikuti 123 petugas di media di Perak pada Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE