GEORGETOWN: Sepatutnya Jumaat lalu, lebih 300 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pengkalan Hulu, di Perak dibenarkan pulang ke rumah untuk menyambut cuti Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga masing-masing.
Namun, ekoran berlakunya jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidik di MRSM itu, cuti para pelajar terpaksa ditangguhkan.
Difahamkan, lebih 300 warga MRSM tersebut termasuk pelajar tingkatan satu hingga lima, guru dan warden perlu menjalani kuarantin di dalam institusi berkenaan dari 7 Mei hingga 15 Mei ini.
Selain itu, difahamkan, kira-kira 70 warga MRSM Pengkalan Hulu termasuk pelajar dan guru dihantar menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin di Tanjung Rambutan, Perak bermula Jumaat lalu selepas ada antara mereka dikesan menjadi kontak rapat mereka yang positif wabak Covid-19.
Seorang warga MRSM Pengkalan Hulu yang hanya mahu dikenali sebagai Nora, 16, berkata, dia sayu memikirkan kali pertama terpaksa dikuarantin dan menyambut Hari Raya Aidilfitri jauh daripada keluarga.
“Kesemua pelajar dikuarantin di dalam bilik asrama masing-masing dan hanya dibenarkan turun ke dewan makan ketika waktu berbuka puasa.
“Kami sedih apabila memikirkan nasib apabila tiba hari raya nanti. Makanan dan barangan dari luar MRSM tidak boleh dipos, ramai yang rindukan ketupat dan rendang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Pengkalan Hulu, Perak.
Ismail berkata, ini kerana terdapat peningkatan kes secara mendadak dikesan di mukim Pengkalan Hulu dan Belukar Semang selepas Kementerian Kesihatan melaporkan terdapat peningkatan kes secara mendadak di dua institusi dengan kadar positif yang tinggi.
Dalam pada itu, seorang waris pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Ayuni Razak, 43, berharap penghantaran barangan makanan dan keperluan lain kepada pelajar di MRSM Pengkalan Hulu secara pos dibenarkan pihak berkuasa serta MRSM.
“Siapa yang tidak sedih apabila anak terpaksa dikuarantin, saya sendiri tahu hal ini menerusi status Facebook seorang waris kerana Kementerian Kesihatan tidak memaklumkannya kepada waris.
“Saya cuma harap waris boleh menghantar makanan atau barang keperluan lain kepada anak-anak kami secara pos untuk kegunaan mereka semasa hari raya nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE