Terengganu: 90 positif gara-gara 30 individu zon merah pulang beraya - Utusan Malaysia

Terengganu: 90 positif gara-gara 30 individu zon merah pulang beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Gara-gara 30 individu dari zon merah pulang ke Terengganu menyambut Aidilfitri mencetuskan 90 kes positif Covid-19 di tiga daerah di negeri ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, walaupun pelbagai alasan diberikan golongan berkenaan untuk merentas negeri, namun helah mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk beraya akhirnya terbongkar apabila ramai dalam kalangan ahli keluarga dijangkiti di samping peningkatan mendadak kes dalam lokaliti.

Katanya, di Kuala Terengganu seramai 40 orang disahkan positif Covid-19 hasil aktiviti rentas negeri dilakukan 13 individu manakala kepulangan sembilan individu ke Hulu Terengganu mengakibatkan 26 orang terkena jangkitan.

“Di Kemaman pula, daripada lapan individu yang merentas negeri dan daerah akhirnya menyebabkan 24 orang disahkan positif Covid-19.

“Orang larang ziarah Aidilfitri tetapi kita buat juga diam-diam dengan alasan hanya melibatkan anak-beranak dan kalau betul mematuhi SOP, jangkitannya mesti kecil tanpa melibatkan datuk, nenek, makcik, pakcik, cucu hingga sepupu,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Nor Azimi berkata, larangan mengadakan majlis berbuka puasa, tadarus mahupun gotong-royong turut tidak diendahkan masyarakat hingga jangkitan meluas dalam komuniti.

Malah, katanya, pada Ramadan lalu orang ramai dikesan bersesak di pasar raya untuk membeli-belah sempena Aidilfitri di samping berbuka berkumpulan di kedai makan.

Menurutnya, dalam kejadian terbaharu sebuah pasar raya ditutup 14 hari kerana 17 pekerjanya disahkan positif Covid-19.

“Pelanggaran demi pelanggaran SOP berlaku, hasilnya kes naik dengan kematian berkali ganda.

“Bermulanya PKP 3.0, mari kita buka buku baharu untuk kekal mematuhi SOP dan mengehadkan pergerakan. Nasihat ini untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira siapa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya