SOP PKP di Kelantan makin ketat - Utusan Malaysia

SOP PKP di Kelantan makin ketat

DR. Izani Husin menunjukkan peraturan dibawah SOP PKP yang dikuatkuasakan di Kelantan dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memperketat prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha membendung jangkitan Covid-19 yang melonjak tinggi di seluruh negeri.

Antaranya, memutuskan hanya 30 peratus penjawat awam dan kakitangan swasta yang boleh bekerja di pejabat serta hanya dua individu dibenarkan menaiki satu kenderaan berkuat kuasa Ahad ini.

Turut dikuatkuasakan, arahan penjarakan fizikal tiga meter, berbanding satu meter sebelum ini di gerai-gerai jualan di tepi jalan seluruh negeri yang dibuka sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin bagaimanapun berkata, tiga individu untuk satu kereta hanya dibenarkan jika membawa ahli keluarga yang sakit untuk ke klinik atau hospital.

Kata beliau, semua SOP terbaharu itu diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan hari ini.

“Susulan arahan 30 peratus kakitangan awam bekerja di pejabat, baki 70 peratus lagi kakitangan akan bekerja di rumah namun kita harap mereka terus patuh kepada SOP ditetapkan.

“Peraturan ini bagi mengelak lebih ramai individu keluar ke tempat awam tanpa sebarang tujuan kerana kita bimbang tindakan itu boleh mendedahkan kepada risiko jangkitan. Apa yang kita lakukan ini merupakan salah satu usaha memutuskan Covid-19 di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Penyelarasan Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Bagi Mengawal Penularan COVID-19 di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Selain itu, kata Dr. Izani, penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP oleh orang ramai dibuat lebih ketat di samping pemeriksaan mengejut di premis-premis termasuk lokasi awam di tepi jalan yang kini dipenuhi gerai-gerai makanan.

“Kita telah mengeluarkan arahan kepada peniaga di tepi jalan untuk membuat penjarakan fizikal yang baharu iaitu tiga meter,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN