GEORGETOWN: Solat sunat tarawih dan Aidilfitri di daerah serta mukim di Pulau Pinang yang kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan berdasarkan kapasiti masjid dan surau.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd. Zakuan Zakaria berkata, bagi solat sunat Aidilfitri, imam hendaklah membaca surah atau ayat yang pendek ketika solat serta meringkaskan doa dengan kadar tempoh keseluruhan solat termasuk takbir, solat, khutbah serta doa adalah kira-kira 45 minit.
“Imam dan khatib jemputan tidak dibenarkan memimpin solat dan menyampaikan khutbah Hari Raya.
“Tanggungjawab ini adalah terletak kepada imam yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sahaja dan khutbah hari raya hendaklah diringkaskan serta hanya menggunakan teks khutbah disediakan JHEAIPP,” katanya di sini hari ini.
Di Pulau Pinang, PKP dilaksanakan masing-masing di tiga daerah dan mukim selepas Kementerian Kesihatan melaporkan 14 kluster aktif ketika ini dengan kadar insiden yang semakin meningkatkan.
Pelaksanaan PKP itu membabitkan daerah Timur Laut, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan manakala mukim membabitkan Mukim 12, Barat Daya; Bandar Butterworth, Seberang Perai Utara dan Mukim 14, Seberang Perai Utara.
Menurut beliau, selain itu, takbir hari raya dengan menggunakan pembesar suara luar adalah dibenarkan bermula solat Maghrib malam terakhir Ramadan.
Bagaimanapun, katanya, amalan takbir dari rumah ke rumah tidak dibenarkan.
“Jamuan selepas solat sunat hari raya dan penganjuran sebarang majlis rumah terbuka tidak dibenarkan. Sekiranya masjid atau surau hendak menyediakan jamuan makanan, boleh diedarkan secara berbungkus,” katanya.
Tambah beliau, jemaah tidak dibenarkan bersalaman sepanjang berada di masjid atau surau dan hendaklah terus pulang dan tidak berkumpul di luar setelah selesai solat.
Dalam pada itu, katanya, turut dibenarkan dilaksanakan di kawasan PKP dan PKPB adalah ibadat solat Jumaat dan fardu.
Bagaimanapun katanya, segala aktiviti sosial dan majlis ilmu adalah tidak dibenarkan di kawasan dikenakan PKP dan PKPB.
“Namun kuliah serta bacaan Yasin selepas solat Maghrib sehingga masuk waktu Isyak dan kuliah Subuh pada hari Sabtu dan Ahad sahaja dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketat,” katanya. – UTUSAN ONLINE