PUTRAJAYA: Keseluruhan Daerah Kuala Terengganu, Terengganu bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara serentak selama 14 hari bermula lusa melibatkan 21 mukim berkuat kuasa hingga 12 Jun ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berikutan terdapat peningkatan kes ketara sepanjang bulan ini iaitu 349 kes atau naik 370 peratus bagi tempoh dua minggu di lokaliti terbabit.
Mukim itu ialah Manir, Bukit Besar, Pengadang Buluh, Belara, Paloh, Kubang Parit, Serada, Rengas, Chendering, Bandar, Chabang Tiga, Kepung, Gelugur Kedai, Kuala Ibai dan Atas Tol.
Selain itu, Tok Jamal, Losong, Batu Buruk, Pekan Chabang Tiga, Pulau Pulau dan Gelugur Raja. Dua mukim lagi iaitu Kuala Nerus dan Pulau Redang telah diasing membentuk satu daerah baharu.
“Turut dikenakan PKPD ialah dua lokaliti perkampungan di Pahang iaitu Felda Jengka 24 di Daerah Jerantut dan Kampung Baru Melayu di Daerah Bentong selain Taman Sinar Harapan, Tampoi, Daerah Johor Bahru, Johor susulan peningkatan kes sehingga 76 peratus hasil ujian saringan yang dilakukan.
“Tidak ketinggalan diwartakan PKPD ialah dua taman perumahan di Daerah Sabak Bernam, Selangor iaitu Taman Pertama dan Taman Serendah ekoran tinggi kadar jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di Sabah pula, katanya, tiga lokaliti di Bahagian Tawau turut dikenakan arahan yang sama iaitu di Kampung Pasir Putih Blok B, PPR Taman Sri Balung dan Kampung Baru Pasir Putih.
Sementara itu, ujarnya, PKPD di Kampung Lubok Redan, Daerah Alor Gajah, Melaka yang dijadualkan tamat esok, disambung lagi tujuh hari sehingga 5 Jun ini.
Begitu juga PKPD di Lorong 2, Kampung Kongsi 8, Bahagian Tawau, Sabah yang sepatutnya berakhir esok, dilanjutkan lagi 14 hari sehingga 12 Jun ini. – UTUSAN ONLINE