PETALING JAYA : Rakyat Malaysia diingatkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19 agar pandemik itu segera berakhir dan semuanya dapat kembali meraikan perayaan-perayaan negara ini dengan meriah seperti dahulu.
Bersempena Hari Wesak hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap semua penganut agama Buddha dapat meraikan perayaan kali ini dalam norma baharu bersama ahli keluarga di rumah dengan suasana yang ceria.
Ujar beliau, dalam berhadapan situasi pandemik yang luar biasa ketika ini, semua rakyat perlu bersama-sama mengamalkan ‘self lockdown’ atau kawalan pergerakan kendiri dan keluarga untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
“Elakkanlah daripada meninggalkan rumah kecuali atas urusan-urusan penting. Bagi mengurangkan perkumpulan beramai-ramai sempena perayaan, patuhilah arahan hanya ketua agama dan jawatankuasa pengurusan kuil sahaja dibenarkan untuk mengunjungi rumah ibadat.
“Sama-samalah kita patuhi SOP PKP yang sedang berkuat kuasa pada ketika ini untuk membendung penularan Covid-19 agar wabak ini segera berakhir dan kita dapat kembali meraikan perayaan-perayaan di negara kita dengan meriah seperti dahulu.
“Semoga Hari Wesak pada tahun ini memberi semangat dan iltizam baharu untuk kita terus cekal dalam mengharungi segala cabaran demi kebaikan bersama dan masa depan negara yang lebih cerah. Selamat Menyambut Hari Wesak,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.
Rakyat Malaysia di seluruh negara yang menganut agama Buddha menyambut Hari Wesak pada hari ini dan turut diisytiharkan sebagai cuti umum.
Pada 10 Mei lalu, kerajaan mengambil keputusan untuk melaksanakan PKP3.0 yang bermula 12 Mei sehingga 7 Jun depan.
Kerajaan kemudian bersetuju untuk mengetatkan lagi pelaksanaannya dengan melibatkan penambahan sekatan yang lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial. – UTUSAN ONLINE