GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di beberapa daerah dan mukim di negeri ini mampu menurunkan kes positif Covid-19 selepas ini kepada dua angka.
Ketika ini, kes positif di Pulau Pinang secara konsisten mencatatkan tiga angka sejak awal tahun ini dengan semalam sebanyak 363 kes iaitu antara yang tertinggi pernah direkodkan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sasaran itu diharap dapat dicapai bagi memastikan sistem perubatan awam dan swasta di negeri ini tidak lumpuh ekoran kenaikan kes Covid-19 yang mendadak.
Sehubungan itu, tambahnya, beliau meminta Jabatan Kesihatan negeri menyediakan laporan analisis risiko Covid-19 setiap hari bagi dipanjangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat penilaian berhubung situasi semasa pandemik tersebut di negeri ini.
“Laporan analisis risiko setiap hari ini juga membantu kita dalam membuat atau mencadangkan sebarang keputusan kepada MKN Pusat untuk dipertimbang.
“Ini termasuk sama ada SOP perlu diperketat atau penyesuaian terhadap SOP perlu dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyeru penduduk Pulau Pinang untuk bersama-sama memastikan pelaksanaan PKP 3.0 dapat mencapai sasaran penurunan kes positif Covid-19 kepada dua angka dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Bermula tengah malam ini, beberapa kawasan di negeri ini dikenakan PKP 3.0 iaitu daerah Timur Laut; Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan serta Mukim 12, Barat Daya; Bandar Butterworth, Seberang Perai Utara dan Mukim 14, Seberang Perai Utara. – UTUSAN ONLINE